GEORGE TOWN : Peningkatan peruntukan yang diterima oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam Belanjawan 2025 bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilihat dapat membantu memperkukuhkan sektor inovasi negara ketika ini.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, peruntukan R&D yang ditingkatkan kepada RM600 juta berbanding RM510 juta sebelum ini itu juga membuktikan bahawa kerajaan mengambil perhatian serius dalam pelaburan berkaitan bidang tersebut.
“Kita boleh lihat, pada dasarnya, banyak kementerian yang dipotong bajetnya. Tetapi, kami (MOSTI) dapat mempertahankan bajet bernilai RM1.2 bilion.
“Selain itu, kita juga melihat peningkatan dalam peruntukan bagi R&D (dari RM510 juta kepada RM600 juta tahun depan) adalah sesuatu yang positif,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Antarabangsa ke-19 mengenai Biopolimer 2024 (ISBP 2024) di sini, hari ini.
Simposium empat hari yang menghimpunkan saintis-saintis terkenal dunia, penyelidik, dan pakar industri dari 33 buah negara itu dianjurkan oleh Pusat Pengajian Sains Biologi, Universiti Sains Malaysia (USM) dengan kerjasama Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM) dan Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (BEC).
Pembentangan dan perbincangan dalam simposium itu akan menumpukan kepada perkembangan terkini dalam plastik berasaskan bio dan boleh terurai, pengeluaran industri dan aplikasi serta isu-isu dasar yang lain.
Sementara itu, Lih Kang berkata, walaupun peruntukan tersebut akan dikongsi bersama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), namun, ia masih membuktikan bahawa kerajaan sangat serius dalam pelaburan dalam bidang R&D.
Tambahnya, jika dilihat dalam keadaan ekonomi pada masa ini, pelaburan dalam bidang R&D itu amat penting untuk perkembangan teknologi dan sains di negara ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Lih Kang berkata, penganjuran Simposium Antarabangsa ke-19 mengenai Biopolimer 2024 itu juga dilihat dapat membantu memajukan bidang penyelidikan biopolimer.
“Kita berdepan masalah dalam mengkomersialkan projek R&D yang berkualiti kerana kurangnya kerjasama antara pemain industri, universiti dan sektor kerajaan.
“Justeru, simposium ini dilihat mampu menjadi jambatan penghubung, yang mana pihak universiti seperti USM dapat bekerjasama dengan pemain industri dan agensi kerajaan untuk menghubungkan semua pihak yang terlibat,” katanya.-UTUSAN