Belanjawan Madani cakna kepentingan pendidikan tinggi

Belanjawan Madani cakna kepentingan pendidikan tinggi

ANWAR Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani 2025 di Dewan Rakyat, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang tertanya-tanya sama ada penyatuan konsep Madani dengan strategi pemetaan ekonomi negara berupaya membawa dampak positif kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Ternyata hari ini, pihak kerajaan sekali lagi berjaya memecah tembok kerunsingan rakyat melalui pengenalan pelbagai prakarsa yang mampu memecah pergeseran sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Malaysia.

Belanjawan yang telah terhampar pastinya mencakupi serta menjawab hasrat rakyat yang mendambakan sebuah tatanan yang berketerampilan, mampan dan inklusif. Persoalannya, bagaimana setiap entiti masyarakat dapat meraih manfaat melalui inisiatif yang telah direncanakan?

CAKNA KPT

Apa yang pasti, semua warga pendidikan tinggi negara pastinya bersorak gembira mendengar pelbagai ikhtiar Belanjawan Madani 2025 yang baru sahaja disampaikan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim kelmarin. Belanjawan ini jelas membuktikan kecaknaan kerajaan dalam mengimbangi kadar pertumbuhan ekonomi dengan keperluan pelbagai sektor dan organisasi, tanpa meminggirkan Institusi Pendidikan Tinggi yang menjadi nadi keilmuan negara bangsa.

Antara ikhtiar yang menarik perhatian kami adalah:

  • Peruntukan sebanyak RM18 bilion ketimbang RM16.3 bilion tahun ini bagi Kementerian Pendidikan Tinggi.
  • Peruntukan RM100 juta untuk universiti awam bagi melaksanakan Kampung Angkat MADANI.
  • Bantuan pembelian tiket penerbangan bagi 60 ribu mahasiswa kurang mampu khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman.
  • Penyediaan dana pembiayaan pendidikan berjumlah RM500 juta oleh PTPTN khusus untuk pelajar yang mengikuti pengajian dalam bidang STEM di IPTA.
  • Peruntukan RM4 bilion yang disediakan dalam bentuk biasiswa, pinjaman dan elaun pendidikan.
  • 50 peratus biasiswa dikhususkan untuk pelajar daripada keluarga pendapatan rendah dan menengah oleh GLIC dan GLC.
  • Pemerkasaan pendidikan berkaitan AI diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan RM50 juta ringgit.

Antara IPTA yang bakal menikmati manfaat ini termasuklah Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

ZAMBRY Abdul Kadir yang turut hadir pada pembentangan Belanjawan Madani 2025, di Dewan Rakyat, kelmarin.

BAHASA MELAYU DAN AI

Belanjawan kali ini turut mengiktiraf UKM sebagai Universiti Watan yang membawa agenda kebangsaan melalui sistem pendidikan antarabangsa beracuan kebangsaan. Justeru, UKM menyanjung ikhtiar yang disampaikan oleh kerajaan dalam memperkasakan bahasa Melayu melalui pengintegrasian teknologi, khusunya teknologi kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif yang diterima bakal menyokong projek Pembangunan Model Bahasa Melayu Nasional (LLM-BM) serta aplikasi yang bakal disediakan khusus buat sektor awam di Malaysia bagi memenuhi keperluan negara serta menyokong peningkatan penggunaan teknologi bahasa berasaskan kecerdasan buatan (AI).

Pembangunan aplikasi yang bakal diterajui oleh Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) UKM dengan kerjasama Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia ini diharap dapat meningkatkan aktiviti alih bahasa produk ilmiah pelbagai genre, sekali gus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam lingkungan sektor yang lebih luas.

Penggunaan aplikasi alih bahasa berteraskan AI akan disebar luas dalam pelbagai sektor di seluruh negara seperti pendidikan, perkhidmatan pelanggan, dan media sosial bagi menyumbang kepada transformasi digital negara sekali gus mempromosikan penggunaan bahasa Melayu dalam teknologi terkini di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pembangunan LLM-BM merupakan suatu inisiatif penting dalam memastikan bahasa Melayu yang hadir bersama gugusan kebudayaan nasional akan kekal relevan seiring perkembangan teknologi digital pada hari ini.

Dengan peruntukan yang diberi, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan dapat diperkasakan melalui teknologi terjemahan yang komprehensif dan mesra pengguna.

Inisiatif ini dapat menghubungkan generasi masa depan dengan warisan linguistik negara melalui platform pembelajaran yang dikuasakan AI.

TIDAK MENGHAMPAKAN

Terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Malaysia Madani yang tidak pernah menghampakan rakyat dalam memberi perkhidmatan terbaik dan berkesan.

Setinggi-tinggi tahniah juga diucapkan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia atas perutukan yang besar ini.

Di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir, peruntukan yang diberi pastinya akan dimanfaatkan melalui pelbagai aktiviti keberhasilan ilmu yang mendorong kesejahteraan rakyat dan negara.

Buat semua warga IPT di seluruh negara, Belanjawan Madani Ketiga 2025 ini jelas membuktikan hasrat kerajaan dalam menyemarakkan aktiviti penyelidikan, penyebaran ilmu dan daya cipta. Justeru, usaha yang diberi usahlah diabai umpama mencurah air ke daun keladi.

Sudah sampai masanya untuk semua warga IPT mengorak langkah dengan lebih agresif dalam menyambut cabaran yang dilontarkan oleh kerajaan.

Berbekalkan sokongan yang diberi, kita percaya, semua IPT mampu menghasilkan graduan berminda Madani yang lengkap dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta pemikiran kritis dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin terhubung ini.

 

Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman
Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia merangkap Pengerusi
Jawatankuasa Naib Canselor/Rektor Universiti Awam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN