Belanjawan 2025: Usaha kerajaan tangani kos sara hidup - Utusan Malaysia

Belanjawan 2025: Usaha kerajaan tangani kos sara hidup

SHAMSHUL ANAZ KASSIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Belanjawan 2025 dibentangkan Jumaat lalu banyak memberi penekanan menangani kos sara hidup yang semakin meruncing ketika ini.

Antara yang jelas seperti kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 daripada RM1,500 sebulan yang memperlihatkan bagaimana keprihatinan serta kesungguhan kerajaan dalam usaha menjamin keseimbangan kos sara hidup rakyat.

Selain itu, dalam menangani kos sara hidup, kerajaan juga telah memperuntukkan beberapa inisiatif penting seperti program jualan Rahmah Madani, penyasaran subsidi, bantuan tunai, inisiatif dan program sejahtera komuniti Madani.

Antara lain, subsidi dan bantuan sosial membabitkan peruntukan RM37 bilion termasuk sumbangan tunai Rahmah (STR) dan sumbangan asas Rahmah.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pensyarah kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr. Shamshul Anaz Kassim berkata, meskipun kenaikan gaji tersebut agak minimum namun sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit bebanan kos sara hidup.

Bagaimanapun katanya, kenaikan tersebut juga dibimbangi menyebabkan berlaku kenaikan harga barangan yang melampau.

Justeru katanya, kerajaan serta agensi dibawahnya perlu memantau lebih agresif kenaikan harga barangan agar kenaikan gaji tersebut tidak kembali membebankan rakyat.

“Belanjawan 2025 dilihat banyak memberi penekanan kepada aspek menangani kos sara hidup termasuk dengan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 kenaikan cukai korporat kepada 26 peratus dan tiada pembangunan besar dan projek mega yang dicadangkan.

“Kerajaan juga telah mengimbangi masalah ini dengan memberi kenaikan gaji mulai Disember ini kepada penjawat awam dan kenaikan gaji minimum pada semua sektor serta memberi bonus RM500 kepada kakitangan awam dan RM250 untuk pesara bagi menampung bebanan kos sara hidup,” katanya.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 kini berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Mengulas lanjut, Shamshul Anaz berkata, sektor swasta juga disarankan untuk memberi insentif bonus dan kenaikan gaji kepada pekerja-pekerja mereka bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Secara keseluruhan, Belanjawan 2025 mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembangunan yang inklusif dan mampan. Ia juga dilihat berupaya memacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Bagaimanapun, kejayaan pelaksanaan belanjawan ini bergantung kepada pengurusan yang cekap dan pemantauan yang berterusan bagi memastikan situasi menang-menang di antara rakyat, sektor perniagaan dan kerajaan demi kehidupan yang lebih selesa dan harmoni tercapai di dalam negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN