KANGAR: Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disifatkan tidak berimpak tinggi khususnya buat kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, ini adalah susulan perkembangan di mana terdapat banyak subsidi yang dinikmati rakyat akan ditarik kembali mulai tahun hadapan.
Katanya, peruntukan kepada ahli Parlimen blok pembangkang juga masih tidak disalurkan menerusi pengumuman belanjawan tersebut.
“Ramai rakyat negeri Perlis tidak dapat merasai peruntukan ini yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat. Cuma saya mengharapkan Belanjawan 2025 ini dapat diseimbangkan dan memberi manfaat sepenuhnya buat semua rakyat tanpa mengira blok parti,” katanya di sini hari ini.
Menerusi Belanjawan 2025 bertemakan ‘Ekonomi MADANI, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, hari ini, kerajaan antaranya bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025.
Pembentangan belanjawan kali ini juga adalah di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, Perlis juga menerima dua projek menerusi Belanjawan 2025 antaranya menaik taraf jalan di pesisiran pantai ke Kuala Sanglang dan Jalan Persiaran Wawasan di Kangar.
“Selain itu projek kedua adalah bagi menaik taraf pos kawalan dan pembinaan blok baharu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Wang Kelian,” katanya.
Di samping itu, Mohd. Shukri berkata, pihaknya turut menyambut baik pengumuman berkaitan peruntukan bagi menaik taraf pekan-pekan di sempadan khususnya di sekitar Selatan Thailand.
Beliau berkata, pihaknya mengharapkan agar pelaksanaan itu segera dijalankan memandangkan Perlis juga masih berada dalam tempoh penganjuran Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs).
“Apa pun terima kasih kepada Perdana Menteri kerana tidak lupa kepada Perlis dan Insya-Allah, kerajaan negeri akan terus memberi kerjasama baik dalam hubungan antara negeri dan Persekutuan,” katanya.-UTUSAN