Belanjawan 2025 tiada perincian, kerangka jelas - Bersatu

Belanjawan 2025 tiada perincian, kerangka jelas – Bersatu

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mempunyai kerangka yang jelas dalam membentangkan Belanjawan 2025 melibatkan pelbagai pihak dalam ekonomi negara.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin mempersoal  strategi yang akan dilaksanakan melibatkan pelbagai pihak selain tiada perincian jelas melibatkan belanjawan yang telah dibentangkan.

“Apa yang lebih menyukarkan bagi pihak di luar sana khususnya pelabur dan penganalisis pasaran adalah perincian tentang beberapa perkara penting yang disebut dalam Belanjawan 2025 tidak mempunyai maklumat lanjut.

“Sebagai contoh, cukai jualan dan perkhidmatan (SST). Dikatakan SST akan ditingkatkan bagi skop tertentu dan diperluas skopnya tetapi di mana perinciannya? Kalau kita sediakan bajet tanpa perincian, berapa sebenarnya hasil yang akan dikutip oleh kerajaan daripada keluasan skop SST ini?

“Perincian yang tidak jelas akan menyebabkan sektor di luar sana akan tertanya-tanya ke mana kerajaan hendak bawa ekonomi Malaysia dalam percukaian melibatkan SST. Justeru, mereka di luar sana memerlukan kepastian, kita tidak boleh meletakkan pelabur dalam keadaan yang tidak tentu,” katanya dalam sidang Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Putrajaya berkata, perkara penting melibatkan urus tadbir negara seharusnya sudah diperincikan di dalam Belanjawan 2025 berbanding menyebut secara umum.

“Sebagai contoh lain seperti subsidi bersasar bagi petrol yang disebut bahawa ia akan dilaksanakan tetapi tidak dinyatakan apa sebenarnya yang ingin dilaksanakan. Sepatutnya perkara ini sudah dimasukkan di dalam Belanjawan. 

“Kerajaan tidak boleh menyebut secara umum begitu sahaja, ini adalah Belanjawan. Ramai yang menunggu kerajaan memberi belanjawan yang jelas dan dalam kerangka yang dapat difahami selain mampu dianalisis oleh semua pihak,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN