Belanjawan 2025: Tekad JPJ tambah baik kualiti perkhidmatan

Belanjawan 2025: Tekad JPJ tambah baik kualiti perkhidmatan

Kaunter JPJ
AEDY FADLY RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal memperkenalkan beberapa inisiatif baharu menerusi Belanjawan 2025 bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, antara inisiatif itu adalah penambahan satu jam waktu operasi bagi perkhidmatan kaunter JPJ bertujuan untuk mempercepat urusan pelanggan  untuk mendapatkan perkhidmatan.

Kata beliau, langkah yang dilaksanakan sejak 19 Ogos 2024 adalah untuk memudahkan urusan pelanggan dan memberi peluang serta lebih banyak masa kepada pelanggan untuk mendapatkan perkhidmatan JPJ.

“JPJ turut bersedia menyediakan perkhidmatan kiosk JPJ di lokasi strategik yang menjadi tumpuan orang awam bagi kemudahan rakyat.

“Ia selaras dengan pelaksanaan Kiosk Sentuhan MADANI yang menjadi saluran tambahan kepada umum, di samping meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada orang awam di kaunter-kaunter agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Seiring dengan transformasi digital, Aedy berkata, JPJ turut menyokong pelaksanaan Aplikasi Tunggal Kerajaan melalui MyDigital ID sebagai kad pengenalan diri yang akan memusatkan semua agensi. 

“Pihaknya juga sedang bekerjasama dengan MIMOS untuk melaksanakan pengintegrasian secara ‘seamless’ dan ‘back end’ bagi Log Masuk Tunggal di aplikasi MyJPJ.

“Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 dalam Ikhtiar 14 (Penggunaan Sumber Yang Optimum), sumber kerajaan akan dimanfaatkan melalui penyaluran sebahagian hasil daripada penjualan nombor plat khas atau Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) untuk kebajikan dalam membantu rakyat susah melalui pelbagai inisiatif.

“Antara inisiatif itu adalah untuk menampung bayaran mendapatkan lesen motosikal oleh 15,000 anak muda kurang berkemampuan seperti murid sekolah menengah, mahasiswa dan belia yang mencari kerja. 

“Selain itu, memberi bantuan pembelian tiket penerbangan bagi 60,000 mahasiswa kurang mampu khususnya dari Sabah dan Sarawak untuk pulang ke kampung halaman dan mengedarkan  topi keledar secara percuma untuk keselamatan anak-anak kepada 67,000 keluarga susah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga bersetuju untuk memasang ‘High Speed Weight in Motion (HS-WiM)’ di lokasi-lokasi terpilih bagi mengekang nahas jalan raya disebabkan kenderaan lebih muatan. 

“Sistem HS-WiM membolehkan berat muatan kenderaan ditimbang secara dinamik ketika kenderaan bergerak seterusnya meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan secara langsung atau ‘real-time’.

“JPJ komited untuk melaksanakan inisiatif berkaitan dalam Belanjawan 2025 bagi memastikan agenda kerajaan dapat dicapai seterusnya memelihara kesejahteraan yang maksimum kepada rakyat dan negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN