KUANTAN: Kerajaan diharap memberi peruntukan lebih besar untuk pembangunan wilayah Felda dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, tiga perkara perlu diberi perhatian Kerajaan Pusat demi kesejahteraan peneroka dan generasi baharu Felda.
Katanya, perkara pertama membabitkan isu perumahan generasi baharu Felda yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.
“Kita mahu supaya adanya perhatian luar biasa dalam bajet kali ini bagi menyelesaikan isu perumahan generasi Felda.
“Kerajaan perlu membantu dengan memberi mandat kepada mana-mana pihak untuk melaksanakan projek perumahan anak-anak peneroka di Pahang dan seluruh negara,” katanya.
Amizar yang juga Pengerusi Kami Anak Felda (KAF) berkata, pembangunan ekonomi Felda juga perlu menjadi perhatian kerajaan dalam meningkatkan sumber pendapatan peneroka.
“Inisiatif ekonomi diharapkan mampu memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan di kawasan tanah rancangan Felda dengan membuka lebih peluang pekerjaan kepada generasi Felda.
“Pembangunan ekonomi ini amat penting dalam memastikan kelangsungan ekonomi Felda lebih kukuh,” ujarnya.
Katanya , dalam belanjawan kali ini juga, beliau berharap disediakan peruntukan untuk pemodenan kawasan Felda atau ‘membandarkan’ Felda, dengan langkah-langkah termasuk penambahbaikan Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960.
“Langkah ini penting bagi memastikan kesinambungan Felda dan meningkatkan daya tarikan kawasan ini. Kita tidak mahu Felda dilihat kolot, tetapi sebaliknya sebagai bandar moden yang berkembang.
“Di samping itu, kita melihat bank-bank telah hadir untuk menyokong usaha ini yang menunjukkan potensi Felda sebagai pusat ekonomi baharu,” katanya. – UTUSAN