Belanjawan  2025 perlu fokus pulihkan sistem pendidikan negara

Belanjawan 2025 perlu fokus pulihkan sistem pendidikan negara

Dr. Anuar Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Belanjawan 2025 perlu memulihkan sistem pendidikan negara apabila sektor tersebut berdepan krisis yang memerlukan perhatian segera selepas menghadapi pelbagai cabaran besar pasca-pandemik Covid-19.

Pelbagai masalah perlu diatasi segera seperti keciciran pelajar, jurang pendidikan antara wilayah, kedaifan kemudahan sekolah dan kekurangan guru sehingga menyebabkan kemerosotan kualiti pendidikan. 

Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, Belanjawan 2025 diyakini dapat memulihkan semula pencapaian dan kualiti sistem pendidikan negara.

Menurut beliau, terdapat beberapa inisiatif dan tumpuan pendidikan yang dapat dimasukkan di dalam belanjawan tersebut bagi memulihkan semula sistem pendidikan negara.

“Antaranya adalah membina lebih banyak sekolah rendah dan menengah baharu di kawasan bandar bagi mengatasi isu sekolah sesak yang sedang berlaku.

“Cadangan Bajet 2025 perlu menekankan peningkatan akses pendidikan awal untuk kanak-kanak berumur 6 tahun dengan menyediakan lebih banyak kemudahan prasekolah, tadika, dan tabika di seluruh negara. 

“Bagi keluarga miskin dan B40, subsidi yuran prasekolah swasta dicadangkan di kawasan yang tiada prasekolah kerajaan. Langkah ini dijangka meningkatkan kadar literasi dan numerasi murid di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, kata Anuar, asrama harian perlu diwartakan sebagai institusi bantuan pendidikan untuk hanya kepada murid miskin manakala Sekolah Asrama Penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diwartakan sebagai institusi bantuan pendidikan untuk murid miskin yang berprestasi paling cemerlang. 

“Selain itu, kerajaan juga perlu meningkatkan peruntukan pendidikan digital untuk semua sekolah dan bekerjasama dengan pihak industri boleh memulakan program ‘Sekolah Angkat Digital’. 

“Kerajaan juga disaran untuk menambahkan bilangan institusi yang menawarkan latihan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan menyediakan kerangka dasar untuk memulakan aliran TVET di tingkatan satu sekolah menengah,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober depan.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi sidang akhbar mingguan di Putrajaya lalu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya