Belanjawan 2025: Pemantapan ekosistem pendidikan jadi tumpuan KPM

Belanjawan 2025: Pemantapan ekosistem pendidikan jadi tumpuan KPM

Wanita PKR
FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS : Ekosistem pendidikan khususnya melibatkan anak-anak terpinggir, tercicir dalam pelajaran serta berkeperluan khas akan diberi tumpuan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjelang pembentangan Belanjawan 2025, 18 Oktober ini.

Selain itu, KPM juga dijangka terus memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kemudahan serta prasarana di sekolah-sekolah di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman dan sebagainya.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini, pihaknya telah melalui banyak proses untuk memohon bajet yang berkaitan, namun, tetap meletakkan keutamaan kepada perkara yang paling penting dalam aspek pendidikan.

“Dalam hal ini, kita sangat yakin bahawa Kementerian akan memberikan tumpuan penuh sekali lagi kepada (bidang) pendidikan khususnya dalam pelajaran yang akan datang.

“Tumpuan itu pastilah melibatkan keseluruhan ekosistem pendidikan. Jadi, jika kita sebut keseluruhan ekosistem pendidikan, ini bermaksud, tidak ada anak-anak yang akan terpinggir termasuk anak-anak keperluan khas dan yang sedang belajar ketika ini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan kali ke-62 yang dihadiri oleh 674 pengetua di seluruh negara di Bertam di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Fadhlina memberitahu, pihaknya telah membentang permohonan dan keutamaan-keutamaan itu kepada Kementerian Kewangan untuk diperhalusi.

“Kita akan teliti isu sekolah dalam keadaan daif dan kita juga boleh meneliti inisiatif baharu (jika perlu). Pada masa yang sama, saya difahamkan, kita masih mempunyai kekurangan guru. Jadi, kita boleh melihat perkara ini juga,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN