Belanjawan 2025: Pastikan hanya ‘nasi’, tidak ada ‘kerak’ - Rafidah

Belanjawan 2025: Pastikan hanya ‘nasi’, tidak ada ‘kerak’ – Rafidah

RAFIDAH AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diingatkan untuk melakukan pemantauan ketat terhadap pelaksanaan Belanjawan 2025 supaya ia bebas daripada ketirisan, penyelewengan dan pembaziran.

Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz mengucapkan tahniah kepada kerajaan atas pembentangan belanjawan terbesar dalam sejarah negara.

Bagaimanapun, kata beliau, kerajaan perlu melakukan pemantauan ketat supaya tidak berlakunya pembaziran dan malamat perbelanjaan yang sebenar dapat dicapai.

“Ada pesanan orang tua-tua bahawa besar periuk, besarlah pula keraknya. Kerak hangus dan tidak boleh dimakan, merupakan satu pembaziran.

“Maka kerajaan perlu pastikan, antara lain kerak nasi tidak ada dan semua nasi boleh dimakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, sejumlah RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan bagi Belanjawan 2025.

Menurut Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, angka itu meningkat 3.3 peratus berbanding RM407.5 bilion yang diperuntukkan pada Belanjawan 2024 yang disemak semula.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata, kerajaan juga perlu memastikan tidak ada lencongan peruntukan kepada ‘orang tengah’, tiada analisa kos dan faedah serta proses untuk mengesan arah aliran perbelanjaan bagi mengelakkan pembaziran.

Jelasnya, ketirisan boleh berlaku sekiranya tiada mekanisme untuk mengesan setiap perbelanjaan dan peruntukan, diikuti dengan sistem pengawasan yang lemah.

“Ada jabatan-jabatan yang tiada sistem-sistem yang efektif untuk mendapat laporan berkala, dalam usaha mengesan setiap bentuk dan jumlah perbelanjaan dari peruntukan yang disediakan.

“Contohnya, projek-projek infrastruktur dan bekalan peralatan seperti untuk angkatan-angkatan tentera udara, laut, dan darat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Belanjawan 2025 dirumus dengan niat yang baik tetapi pelaksanaannya mesti diberi perhatian serius dan teliti.

“Jika tidak setiap kebocoran, lencongan, ketirisan dan pembaziran akan merupakan beban kos kepada rakyat, dan penjelasan kepada Malaysia, negara kita.

“Membanteras korupsi dan rasuah pasti bermula dengan niat yang baik. Tetapi niat itu mesti seterusnya disusuli dengan tindakan dan usaha yang serius dan komited. Rakyat tidak mampu dan tidak sanggup melihat nasi dalam periuk semakin tebal keraknya,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya