Belanjawan 2025: P.Pinang sambut baik, harap pelaksanaan projek disegerakan

Belanjawan 2025: P.Pinang sambut baik, harap pelaksanaan projek disegerakan

CHOW KON YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kerajaan negeri menyambut baik pengumuman pelaksanaan beberapa projek daripada Kerajaan Persekutuan khusus untuk Pulau Pinang dalam pembentangan Belanjawan Madani 2025 hari ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, antaranya ialah projek Lebuh Raya Bertingkat Juru dan Sungai Dua kerana projek tersebut dianggap sebagai satu keperluan yang amat meruncing di Pulau Pinang ketika ini.

Beliau berkata, selain itu, pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di bahagian Seberang Perai juga amat dialu-alukan kerana ia dilihat bakal meningkatkan lagi mutu pelbagai perkhidmatan awam sedia ada di UTC @ Komtar.

“Kesemua projek yang diumum untuk dilaksanakan di negeri ini bakal membawa serta menyuntik pembangunan Pulau Pinang secara keseluruhan. Justeru, adalah menjadi harapan saya dan seluruh rakyat Pulau Pinang agar pelaksanaannya (projek) disegerakan serta menepati jadual pelaksanaan ditetapkan,” katanya di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai agenda pembangunan tanah wakaf oleh agensi Persekutuan, UDA Holdings Berhad (UDA) di Pulau Pinang pula, kata Kon Yeow, kerajaan negeri tiada halangan berhubung perkara itu dan akan menyokong hasrat tersebut.

“Ia (agenda pembangunan tanah wakaf itu) selari dengan permintaan yang pernah diutarakan oleh beberapa pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini untuk membangunkan semula penempatan Melayu serta meningkatkan pegangan hartanah mereka di negeri ini terutama bahagian pulau,” katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, selain projek-projek tersebut, beliau berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan pelaksanaan beberapa projek Persekutuan lain khusus untuk Pulau Pinang dalam belanjawan berkenaan.

Katanya, antara projek itu ialah projek penyaluran air mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang, Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) serta projek Batu Kawan Industrial Park 3.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN