Belanjawan 2025: Nelayan harap kerajaan kawal harga peralatan - Utusan Malaysia

Belanjawan 2025: Nelayan harap kerajaan kawal harga peralatan

ZAKARIA Ibrahim, 48, (tiga dari kiri) bersama beberapa nelayan melakukan kerja-kerja pemindahan ikan selepas pulang dari laut di Kampung Pulau Ketam, Kuala Perlis, Perlis, semalam. -UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan diharap dapat mengawal harga peralatan nelayan yang dibimbangi berlaku kenaikan retentan daripada pengumuman penyasaran subsidi petrol bermula pertengahan tahun depan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Perlis, Asri Jab berkata, golongan nelayan menyambut baik intipati Belanjawan 2025 baru-baru ini namun pengumuman penyasaran petrol itu dibimbangi mendorong kepada kenaikan harga peralatan bagi menangkap ikan.

Katanya, sekiranya harga peralatan tidak dikawal dan berlaku kenaikan, perkembangan itu akan mempengaruhi harga pasaran ikan selepas ini.

“Disebabkan itu kami para nelayan mengharapkan agar harga peralatan menangkap ikan seperti pukat, enjin dan lain-lain dapat dikawal dengan sebaiknya bagi mengelakkan kenaikan,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2025, kerajaan bercadang melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun hadapan.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan juga memperuntukkan sejumlah RM2.78 bilion sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan iaitu meningkat berbanding RM2.6 bilion tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan akan dinaikkan kepada RM84,000, berbanding RM56,000 di Semenanjung.

Kata Anwar, bantuan diesel juga terus dikekalkan untuk para nelayan dalam memenuhi keperluan sebenar komuniti kecil ini yang memberikan sumbangan besar kepada agenda keterjaminan makanan.

Sementara itu, seorang nelayan, Zekri Ali, 49, berkata, inisiatif kerajaan mengekalkan subsidi diesel buat para nelayan sememangnya amat membantu khususnya dalam mendepani cabaran kenaikan harga barangan pada ketika ini.

“Pemberian subsidi ini sememangnya perlu dikekalkan kerana harga peralatan menangkap ikan juga semakin meningkat malah hasil tangkapan kami juga tidak menentu,” katanya.

Tambahnya, inisiatif-inisiatif yang diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2025 kali ini juga menunjukkan bahawa nasib golongan nelayan masih diberi perhatian oleh kerajaan.

“Saya syukur kerana kerajaan mengekalkan pemberian ini yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan kami para nelayan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya