PUTRAJAYA: Kerajaan diharap dapat menaikkan kadar bantuan tunai kepada rakyat menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini dalam usaha memperkukuhkan jaringan keselamatan sosial masyarakat yang memerlukan.
Bantuan tunai itu meliputi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) khususnya golongan rakyat yang paling terkesan dengan kos sara hidup.
Melalui Belanjawan 2024, peruntukan STR ditingkatkan sebanyak RM2 bilion atau 25 peratus daripada RM8 bilion pada tahun 2023 kepada RM10 bilion yang memanfaatkan penerima meliputi hampir 60 peratus penduduk dewasa negara ini.
Program SARA pad tahun ini juga memanfaatkan lebih 700,000 penerima dengan peruntukan RM700 juta berbanding tahun 2023, iaitu hanya 210,000 penerima dengan perbelanjaan RM130 juta.
Di bawah program ini, penerima yang layak dalam status kategori miskin dan miskin tegar menerusi pangkalan data e-Kasih boleh membeli barang keperluan asas terpilih dengan bantuan disalurkan secara bulanan iaitu RM100 sebulan untuk isi rumah dan warga emas tiada pasangan dan RM50 sebulan untuk golongan bujang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali berkata, peningkatan kadar bantuan ini amat membantu mereka terutama golongan yang benar-benar memerlukan dalam menangani kos sara hidup tinggi ketika ini.
“Kerajaan boleh menaikkan kadar STR ini kerana kalau diikutkan sistem ekonomi Islam, ia diistilahkan had kifayah iaitu had kecukupan bagi seseorang individu itu untuk menyara hidup mereka. Sekiranya mereka termasuk di bawah had kecukupan ini, mereka boleh menerima zakat.
“Begitu juga dalam konteks rakyat seluruhnya kena ada had kecukupan masing-masing. Maka bantuan STR dan SARA ini mampu untuk mencukupkan mereka untuk keperluan sara hidup masing-masing,” katanya di sini semalam.
Pensyarah Kanan, Fakulti Pergurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Dr Noraina Mazuin Sapuan pula berkata, belanjawan kali ini diharap dapat meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia di peringkat global melalui pelaburan strategik dalam sektor teknologi hijau, automasi, dan kecerdasan buatan (AI).
Kata beliau, pendekatan ini dijangka mampu menjana pertumbuhan mampan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Beliau berkata, cabaran besar yang perlu dihadapi dalam belanjawan 2025 adalah memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi dan pengurusan hutang negara.
“Di tengah ketidaktentuan ekonomi global dan peningkatan kos sara hidup, kerajaan perlu memperkenalkan dasar-dasar yang mampu memacu pertumbuhan sambil mengekalkan kestabilan fiskal.
“Bajet ini juga menumpukan kepada pembangunan infrastruktur digital dan hijau, dengan objektif untukmeningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penambahbaikan dalam akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan komited untuk memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati semua rakyat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
“Belanjawan 2025 dijangkakan memperkenalkan langkah-langkah khusus bagi memperkasakan kumpulan rentan seperti golongan miskin bandar, komuniti luar bandar, dan Orang Asli, agar mereka turut menikmati manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.
“Selain itu, sokongan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PMKS) dijangka diteruskan untuk memastikan mereka dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan lebih signifikan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Naib Canselor Pengembangan Akademik, UMPSA, Prof. Dr Kamal Yusoh berkata, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terutama di peringkat pengajian tinggi memerlukan penyediaan fasiliti berteknologi tinggi.
Kata beliau, fasiliti ini sangat perlu selaras dengan kemajuan bidang TVET terutama dalam bidang AI, Keselamatan Siber, dan juga IoT.
“Peralatan ini memerlukan pendanaan yang besar bagi memastikan teknologi terkini tersedia di makmal-makmal universiti.
“selain daripada fasiliti, keperluan bajet bagi memastikan pengajar-pengajar TVET (upskilling dan reskilling) dapat meningkat kompetensi selari dengan perubahan teknologi kerana ia memberi impak langsung kepada kualiti graduan TVET ke pasaran,” katanya. – UTUSAN