GEORGE TOWN : Gerakan Belia 4B (M) Pulau Pinang yakin Belanjawan 2025 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin dapat memberi manfaat besar kepada seluruh golongan belia termasuk di negeri ini.
Pengerusinya, Mohamad Nazri Abdul Latiff berkata, hal ini demikian kerana, pelbagai insentif telah disediakan untuk golongan itu dalam belanjawan berkenaan.
Beliau berkata, bagi usahawan muda, antara kemudahan yang disediakan termasuk Skim Mikro Belia dan Skim Mula Niaga selain Program Pembangunan Keusahawanan Belia Bumiputera.
Selain itu katanya, peningkatan bantuan kewangan kepada RM600 untuk belia bujang dan peluasan program MyLesen kepada 15,000 pelajar B40 juga dapat membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat khususnya golongan muda dan memudahkan mereka mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LMM) bagi Kelas B2.
“Oleh itu, kami (Gerakan Belia 4B Pulau Pinang) juga menyambut baik Belanjawan 2025 dengan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat besar kepada belia dan negeri ini. Belanjawan 2025 adalah berorientasikan pertumbuhan serta kesejahteraan dan kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kejayaan inisiatif ini (boleh dicapai),” katanya di sini, hari ini.
Jelas Mohamad Nazri, langkah menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 dan kesinambungan inisiatif MySTEP juga dilihat dapat memastikan belia mendapat peluang pekerjaan dengan pendapatan yang setimpal.
“Program MYInsentif Kesuma yang berjumlah RM30 juta bagi belia India pula memperkukuh kesamarataan dalam pembangunan belia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen kerajaan terhadap sektor pendidikan apabila memperuntukkan sebanyak RM4 bilion untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan sekaligus menunjukkan bahawa tumpuan besar diberi untuk membangunkan modal insan berkualiti.
“Dana Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM500 juta untuk pelajar dalam bidang STEM memberi dorongan kepada belia untuk terlibat dalam sektor teknologi manakala Program Rakan Muda dan Belia Kreatif Komuniti MADANI pula akan terus memperkasa kreativiti dan potensi belia,” kata beliau.
Tambah Mohamad Nazri, melalui ‘Step Up Financing’ berjumlah RM5 bilion, kerajaan juga dilihat cuba mempermudah golongan muda untuk memiliki rumah pertama mereka dengan bayaran balik yang lebih rendah selain membantu belia yang baru memulakan keluarga.
“Bagi Pulau Pinang pula, saya melihat (cadangan pembangunan) projek UTC di Seberang Perai dan penerusan Pas Bulanan My50 memudahkan pergerakan belia manakala pembinaan lebuhraya bertingkat Juru-Sungai Dua pula akan meningkatkan aksesibiliti dan infrastruktur negeri,” katanya.-UTUSAN