Belanjawan 2025: Kerajaan diminta perjelas berapa negeri pembangkang dapat

Belanjawan 2025: Kerajaan diminta perjelas berapa negeri pembangkang dapat

NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan peruntukan yang akan diterima oleh negeri-negeri dikuasai pembangkang daripada jumlah peruntukan keseluruhan RM423 bilion dalam Belanjawan 2025.

Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, kerajaan perlu memastikan agihan yang adil kepada Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah.

“Kalau peruntukan yang lepas RM388.1 bilion, kita lihat Kelantan (merupakan) antara negeri yang memberi cukai besar dalam Malaysia tetapi daripada jumlah tersebut, negeri itu hanya menerima kurang dari RM1 bilion sahaja dengan alasan-alasan tidak boleh diterima.

“Apa salahnya kita bantu (negeri pembangkang)? Apa salahnya (juga) kita bertindak adil dalam perkara ini,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Nik Muhammad yang merupakan Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) mendakwa Belanjawan 2025 tidak membantu negara untuk bergerak ke arah negara maju pada masa hadapan.

Jelasnya, perbelanjaan yang besar tidak membentuk sesuatu gambaran bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara maju.

“Di sana tidak ada satu peruntukan besar yang akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar, bahkan kalau kita lihat pertumbuhan import berbanding dengan eksport, pertumbuhan import jauh lebih subur berbanding pertumbuhan eksport. Maknanya negara kita ini hanya sekadar negara yang membeli,” katanya.

Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk Malaysia menjadi negara pengeluar.

“Antara punca Malaysia tidak dihormati sebenarnya di mata dunia (adalah) apabila kita bercakap isu yang menyentuh kedamaian antarabangsa, orang tidak hormat negara sebab kita tidak mempunyai industri pertahanan.

“Malaysia tidak memiliki kepakaran yang hebat sehingga kita dapat mengeluarkan senjata kita sendiri yang memberi kekuatan kepada negara dan memberi mesej kepada negara-negara lain bahawa ‘Inilah Malaysia,” katanya.

Tambahnya, perkara itu perlu bagi memastikan pelabur-pelabur yakin untuk melabur di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN