GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyambut baik langkah kerajaan untuk menaikkan kadar duti eksais sebanyak 40 sen seliter bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari 2025.
Pegawai Pendidikan CAP, N.V. Subbarow berkata, langkah tersebut disifatkan sebagai terbaik dalam usaha menangani penyakit-penyakit yang berpunca daripada penggunaan gula yang tinggi seperti diabetis serta obesiti.
“Pengumuman kerajaan yang mengisytiharkan perang terhadap gula (war on sugar) dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa ini adalah satu berita ‘manis’ untuk rakyat.
“Kadar yang dikenakan iaitu sebanyak 40 sen seliter juga adalah munasabah selepas Malaysia menjadi antara negara paling obesiti di rantau Asia Tenggara dan dalam hal ini, gula adalah salah satu musuh bagi utama penyakit tidak berjangkit,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2025 semalam berkata, kerajaan mengumumkan perang terhadap gula dengan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan.
Mengulas lanjut, Subbarow berkata, langkah menaikkan duti eksais untuk minuman itu juga dapat mengatasi ketagihan terhadap minuman bergula di dalam botol dalam kalangan belia dan pelajar.
Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) berkata, terdapat beberapa perkara positif yang dibentangkan menerusi Belanjawan 2025 semalam termasuk peningkatan peruntukan kewangan ekologi kepada negeri-negeri untuk usaha perlindungan dan pemuliharaan daripada RM200 juta kepada RM250 juta.
“Walaupun kami mengalu-alukan peningkatan ini, namun, ia sebenarnya masih tidak mencukupi untuk memberi insentif kepada negeri-negeri bagi mengekalkan hutan dan biodiversiti. Kami berharap jumlahnya adalah lebih tinggi.
“Kami juga menyambut baik cukai karbon ke atas sektor besi dan keluli yang merupakan sektor yang menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi. Ini adalah langkah yang baik,” katanya yang turut menyokong langkah-langkah untuk menggalakkan orang ramai membeli peralatan elektrik yang cekap tenaga.
Sementara itu, SAM bagaimanapun agak kecewa kerana tiada sebarang pengecualian cukai diberikan dalam Belanjawan 2025 untuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi alam sekitar yang banyak menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar.-UTUSAN