SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berharap Belanjawan 2025 akan menyentuh tambahan aset seperti mesin pengimbas barangan, bot marin dan kamera badan (BWC) bagi memantapkan peranan dan bidang kuasa agensi itu.
Ketua Pengarahnya Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, pihaknya juga berharap peruntukan itu turut meliputi tambah baik aset digital yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (Al).
“Tambahan aset AI itu penting bagi mengimbangi sebahagian besar pegawai kastam yang akan bertugas di Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) kelak.
“Saya dimaklumkan satu pertiga daripada kekuatan kita akan ke sana (MCBA). Justeru, kita memerlukan lebih banyak aset AI untuk mengimbangi kekurangan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai MCBA, Anis Rizana berkata, JKDM kini sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung penugasan anggota JKDM di bawah MCBA.
“Kami difahamkan ia (penugasan anggota) dalam proses pewartaan (MCBA), kita akur dan akan bekerjasama penuh kepada entiti tersebut,” katanya.
Katanya, bagi fasa pertama, seramai 5,117 anggota JKDM akan ditugaskan di MCBA.
Dalam perkembangan lain, Anis Rizana berkata, beliau telah membuat 52 kali pusingan kerja di peringkat ibu Pejabat JKDM sejak dilantik ke jawatan itu tahun lalu.
“Ini merupakan pematuhan kepada pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya kita menjalankan pusingan kerja selaras arahan kalau tidak akan dikenakan tindakan tata tertib,” katanya. – UTUSAN