Belanjawan 2025: Berita baik untuk M40? Anwar hanya tunjuk tanda bagus

Belanjawan 2025: Berita baik untuk M40? Anwar hanya tunjuk tanda bagus

ANWAR Ibrahim memegang beg fail dokumen Belanjawan 2025 di Kementerian Kewangan Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Debaran menanti apakah habuan yang bakal diterima lebih 30 juta rakyat sebaik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Kementerian Kewangan (MoF) pada pukul 3.15 petang menuju ke Parlimen bagi membentangkan Belanjawan 2025.

Berwajah ceria dan segak berbaju Melayu berona kelabu lengkap bersampin dan berkasut, tumpuan seluruh rakyat apakah intipati belanjawan kali ini yang akan dibentangkan tepat pukul 4 petang.

Sebelum itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyertai bacaan doa yang diketuai Pegawai Hal Ehwal Islam MoF, Mohamad Zukrillah Ismail di lobi utama Perbendaharaan.

Ketika ditanya sama ada Belanjawan negara kali ini ada memberikan berita baik kepada golongan M40, beliau hanya menunjukkan tanda bagus sambil tersenyum.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan II; Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri; Lim Hui Ying dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan; Datuk Johan Mahmood Merican.

Beg berwarna hitam berisi dokumen Belanjawan 2025 turut menjadi tumpuan dengan keunikan rekaan beg itu yang mana Perdana Menteri meneruskan tradisi menggunakan hasil kreatif kraftangan tempatan dengan corak tenunan songket bersulam benang emas.

Kerja seni tenunan songket beg fail dokumen Belanjawan 2025 itu dihasilkan oleh pereka tempatan, Adiguru Rasiah Yusoff dari Kampung Tikat Penambang, Kelantan manakala beg direka oleh Chew Kai Hung dari Pulau Pinang.

Selain tenunan songket di bahagian luar, beg itu turut menerapkan kombinasi saree bagi lapisan dalam.

Tumpuan utama Belanjawan 2025: Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan Mensejahtera Rakyat merupakan belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar.

Belanjawan ini juga adalah yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Sebelum ini, Anwar membentangkan Belanjawan 2023 bertemakan ‘Membangun Malaysia Madani’ membabitkan peruntukan RM388.1 bilion.

Pada Belanjawan 2024 pula bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ pula memperuntukkan RM303. 8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM90 bilion bagi perbelanjaan pembangunan dan RM2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN