Belanjawan 2025: Beri harapan baharu pada veteran ATM

Belanjawan 2025: Beri harapan baharu pada veteran ATM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengumuman Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2025 memberi harapan baharu kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menaikkan Elaun Layanan Sentiasa daripada RM500 kepada RM1,500.

Presiden Persatuan Kor Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC), Datuk Seri Dr. Abdul Aziz Ibrahim berkata, pihaknya amat menghargai komitmen kerajaan bagi meningkatkan kesejahteraan veteran ATM dan ahli keluarga.

Katanya, veteran ATM meletakkan harapan yang tinggi serta berharap setiap pembentangan belanjawan tidak meminggirkan kebajikan veteran, balu dan keluarga mereka.

“RAFOC menyambut baik keputusan kerajaan untuk menaikkan Kadar Elaun Layanan Sentiasa kepada RM1,500 dari RM500, berkuat kuasa 1 Januari. Isu ini telah dikemukakan sejak tahun 2000 dan sebahagian besar veteran telah berputus harap.

“Keputusan ini pastinya memberi kelegaan dan mengiktiraf pengorbanan dan sumbangan veteran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Abdul Aziz yang mengakhiri kerjayanya dengan pangkat Leftenan Jeneral itu berkata, keputusan kerajaan untuk meneruskan bayaran Penghargaan Khas Kepada Pesara dan faedah pencen untuk tahun 2025 juga mencerminkan komitmen untuk menjaga martabat dan kesejahteraan veteran.

“Kesediaan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup veteran yang tidak berpencen dengan menaikkan Bantuan Sara Hidup kepada RM500 sebulan, selaras dengan pendapatan garis kemiskinan (PGK).

“Penyesuaian ini pasti akan memberikan dorongan kepada kesejahteraan veteran yang tidak berpencen,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, inisiatif paling menarik perhatian pihaknya adalah pengumuman pelarasan pencen secara berfasa berdasarkan peratusan kenaikan gaji akhir pesara, diguguskan mengikut kumpulan perkhidmatan masing-masing, termasuk pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“RAFOC beserta veteran amat menantikan rancangan pelaksanaan terperinci, terutamanya bagi mereka yang bersara pada tahun 2013 dan sebelumnya, untuk memastikan mereka menerima pelarasan signifikan yang mereka layak.

“RAFOC menghargai iltizam kerajaan dalam menangani kesejahteraan veteran dan keluarga mereka. Veteran meyakini Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) untuk memastikan inisiatif yang diumumkan dilaksanakan dengan berkesan dan cekap,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN