Belajar jawi dengan Cikgu Lorenica

Belajar jawi dengan Cikgu Lorenica

LORENICA Frenila Masundim semasa mengajar tulisan jawi di Sekolah Kebangsaan Bawang, Beluran, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun tiada asas dalam penulisan jawi, ia bukan penghalang kepada Lorenica Frenila Masundim, 34, untuk mengajar tulisan itu dengan baik.

Walaupun tulisan jawi sinonim dengan masyarakat yang beragama Islam namun, sebagai guru bukan beragama Islam, beliau menguasai tulisan jawi yang dimasukkan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Guru berketurunan Rungus yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang, Beluran itu mengakui masih dalam proses belajar.

Katanya, ia bukan sesuatu yang mudah kerana beliau tidak mempunyai asas dalam penulisan jawi.

Beliau hanya mempelajari tulisan jawi semasa mengambil subjek pengenalan asas ejaan rumi dan jawi ketika mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu pada 2008.

Setiap guru yang mengambil opsyen Bahasa Melayu di IPG perlu mempelajari penulisan jawi dan itu sebabnya beliau bersama 11 guru bukan Islam termasuk mereka yang berketurunan Cina mengambil kursus penulisan jawi.

“Saya ingat lagi kami belajar tulisan jawi dengan menghafal lagu ‘Alif Ba Ta’ seperti yang diajar kepada kanak-kanak di sekolah agama.

 

“Pada mulanya memang susah tapi, rakan-rakan Muslim banyak membantu sehingga kami boleh mengenal huruf jawi dengan mudah,” katanya ketika dihubungi Utusan Pelajar.

Lorenica yang berasal dari Kampung Tangkarason, Paitan, Beluran berkata, persepsi bahawa tulisan jawi hanya dipelajari oleh mereka yang beragama Islam harus diperbetulkan. Tulisan jawi boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, ia tidak seharusnya dikaitkan dengan agama seseorang.

“Mungkin ada yang tidak tahu, mereka fikir tulisan jawi untuk mereka yang beragama Islam sahaja dan secara kebetulan buku Pendidikan Islam di sekolah kita memang ditulis menggunakan tulisan jawi.

“Hakikatnya kalau dilihat sejarah, memang dibuktikan tulisan jawi itu adalah dicipta dan diubah suai daripada tulisan bahasa Arab khas untuk menulis bahasa Melayu. Jadi, tulisan jawi sebenarnya khas untuk bahasa Melayu. Itu yang perlu diketahui oleh semua orang.

“Kita perlu mengubah persepsi bahawa masyarakat bukan Islam di Malaysia juga boleh belajar mahupun mengajar tulisan jawi.

“Semua orang boleh belajar tulisan jawi, ia tiada kaitan pun dengan pengislaman. Identiti kami sebagai orang bukan beragama Islam tidak akan hilang dengan hanya belajar atau mengajar tulisan jawi,” katanya.

Menurut Lorenica, selepas video yang memaparkan dia mengajar anak murid tulisan jawi tular dalam laman media sosial, ada yang mempersoalkan kenapa guru bukan Islam mengajar jawi.

Namun, ada individu beragama Islam yang prihatin memberi komen bahawa tulisan jawi boleh dipelajari oleh sesiapa. Apabila membaca komen sebegini, ia membuatkannya rasa positif.

Berkongsi lanjut katanya, dia agak terkejut apabila video beliau mengajar tulisan jawi menjadi tular dan menarik perhatian ramai.

“Saya sangat-sangat terkejut dan sampai sekarang pun rasa macam tidak percaya. Saya ingat kalau tular, mungkin hanya sehari. Namun, kisah saya mengajar tulisan jawi terus mendapat perhatian media.

“Saya tidak terfikir kisah sebegini boleh memberi inspirasi kepada orang di luar sana. Namun, apabila kisah ini tular, saya nampak ramai yang memberi komen positif dan mendapat inspirasi untuk mengetahui mahupun belajar tentang tulisan jawi,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, dia telah mengajar di sekolah kurang murid (SKM) kategori K9 yang mempunyai 192 murid itu sudah hampir 10 tahun.

Memandangkan dia memang berasal dari pedalaman maka, mudah untuknya menyesuaikan diri mengajar di sekolah tersebut.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya