Bekas Hakim Mahkamah Rayuan kini peguam

Bekas Hakim Mahkamah Rayuan kini peguam

BEKAS Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam (lima dari kiri) ditemani isteri, Datin Zarina Zain (berbaju ungu) bersama rakan-rakan selepas diterima masuk sebagai Peguam Cara dan Peguam Bela di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam hari ini diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Penerimaan masuk Yaacob yang sudah bersara wajib sejak 12 Mac lalu berlangsung melalui upacara Long Call di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.

Hakim Ahmad Kamal sebelum menerima penerimaan masuk tersebut, sempat mengucapkan tahniah kepada Yaacob dan turut menyatakan bahawa bekas Hakim itu merupakan bekas ketuanya ketika bertugas di Jabatan Peguam Negara.

Hakim Ahmad Kamal turut menyifatkan Yaacob sebagai seorang yang berpengalaman luas dalam hal-hal perundangan.

Terdahulu, ketika memohon kemasukan bekas hakim itu, peguam pengusul, M. Athimulan berkata, Yaacob merupakan individu yang layak serta sesuai di bawah Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk kemasukan ke Badan Peguam.

Malah, kata Athimulan, sepanjang sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan Hakim Mahkamah Rayuan, Yaacob telah menulis lebih daripada 900 penghakiman bertulis dan sejumlah 299 alasan penghakiman Pempetisyen dalam pelbagai isu dan disiplin undang-undang yang turut diterbitkan dalam pelbagai jurnal undang-undang.

Pada majlis hari ini, Yaacob yang hadir dengan ditemai isteri, Datin Zarina Zain dan tiga anaknya telah dipakaikan jubah oleh bekas Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara dan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang disifatkan sebagai guru dan sahabat baik beliau.

Ketua Bahagian Sivil Jabatan Peguam Negara, Donald Joseph Franklin pula menyifatkan Yaacob sebagai seorang yang tekun, mempunyai sifat penelitian terhadap setiap [erkara waima sekecil mana dan mempunyai kemahiran analitikal luar biasa serta deria keadilan yang tajam.

“Pempetisyen (Yaacob) memiliki deria etika yang kuat (a strong ethical sense), sifat integriti yang tinggi dan sentiasa berlaku adil dalam pendakwaan yang dijalankan beliau. Berdasarkan kualiti peribadi ini, Pempetisyen seorang yang sangat dihormati dan disegani dalam kalangan pengamal undang-undang, khususnya dalam kes-kes jenayah,” kata Franklin yang tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap permohonan Yaacob.

Sementara itu, peguam, Nik Nurul Atiqah Nik Yusof yang mewakili Majlis Peguam juga mengatakan mereka tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap penerimaan masuk Yaccob sebagai peguam cara dan peguam bela.

Yaacob telah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi dan Hakim Mahkamah Rayuan selama 15 tahun, dua bulan dan lapan hari sebelum persaraan wajib.

Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian (LLB. Hons) daripada Universiti Malaya sebelum menamatkan pengajian pada tahun 1982.

Yaacob memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Perundangan dan Kehakiman Malaysia mulai 3 Mei 1982 sebagai Majistret Kuala Lumpur.

Selepas itu, beliau bertukar perkhidmatan ke Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk selama 26 tahun sebelum Pempetisyen dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya ditempatkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya