Bekas guru diperintah bayar ganti rugi RM90,000 kepada murid

Bekas guru diperintah bayar ganti rugi RM90,000 kepada murid

Ganti rugi
MOHD. Amirul Azdi (kanan) bersama isteri dan anaknya ketika dihadir di Mahkamah Tinggi, di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan seorang bekas guru sebuah sekolah kebangsaan membayar ganti rugi RM90,000 kepada bekas murid yang dipukulnya dengan penyapu hingga menerima lima jahitan di kepala pada 2019.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Hazizah Kassim membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan saman dikemukakan bekas murid Tahun Dua itu terhadap tiga pihak termasuk guru besar sekolah sama dan kerajaan Malaysia.

Bekas murid lelaki itu yang kini berusia 13 tahun selaku plaintif diwakili bapanya, Mohd. Amirul Azdi Md. Yusuf, 41, memfailkan saman terhadap bekas guru wanita berusia 60 tahun berkenaan sebagai defendan pertama.

Hazizah dalam penghakimannya berkata, mahkamah meneliti semua hujahan, keterangan dan keputusan dibuat Mahkamah Sesyen Selayang yang menolak tuntutan saman itu sebelum ini.

“Mahkamah berpendapat bahawa tindakan defendan menggunakan penyapu untuk menakutkan murid supaya mengikuti arahan dianggap tidak dialu-alukan pada era ini.

“Insiden kes ini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku di institusi sekolah. Ia diharap menjadi pengajaran dan tidak berulang lagi,” katanya.

Tambahnya, mahkamah turut mengambil kira faktor berkaitan rekod disiplin plaintif di sekolah tersebut.

“Pihak sekolah sepatutnya menggunakan kaedah untuk menanganinya. Insiden itu lebih kepada pertikaian antara orang dewasa dan kanak-kanak. Rekod disiplin itu tidak relevan mengenai tingkah laku plaintif ketika yang hanya murid Tahun Dua ketika kejadian,” katanya.

Tambah Hazizah, keterangan saksi iaitu pegawai penyiasat turut hanya dianggap sebagai keterangan ‘dengar cakap’ mengenai insiden itu.

“Justeru, mahkamah ini mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan defendan pertama diarah membayar ganti rugi am RM15,000 selain RM70,000 bagi ganti rugi teladan serta RM5,000 untuk kos rayuan.

“Mahkamah turut memutuskan defendan dua dan tiga tidak bertanggungan alih terhadap perbuatan defendan pertama,” jelasnya.

Prosiding itu dihadiri peguambela plaintif, Azmer Md. Saad dan Nur Zalikha Noor Kashfi, manakala peguam Ruslan Hassan dan Mohd. Zali Shaari mewakili guru wanita tersebut.

Peguam Kanan Persekutuan, Nur Aifaa Che Abdullah bertindak bagi pihak guru besar dan kerajaan.

Mengikut penyataan tuntutan pada 17 Oktober 2022, plaintif menyatakan dalam perjalanan kembali ke tempat duduknya dalam kelas, sebelum secara tiba-tiba guru itu memukul kepala mangsa menggunakan penyapu, kira-kira pukul 3 petang, 18 Oktober 2019.

Plaintif mendakwa dirinya cedera dan mengalami pendarahan banyak menyebabkan defendan itu menarik mangsa ke meja guru dan menekan kepalanya menggunakan tisu basah bagi menghentikan pendarahan.

Berikutan kejadian itu, mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Gombak sebelum ibu bapa plaintif dihubungi seorang guru yang memaklumkan mengenai kejadian berlaku.

Mangsa yang cedera di kepala terpaksa dibalut bagi menutup luka dan menerima lima jahitan di klinik berkenaan.

Susulan itu, bapa plaintif membuat laporan polis mengenai kejadian berkenaan pada pukul 6.45 petang hari sama dan memohon penjelasan daripada guru itu yang mengatakan bahawa mangsa dipukul kerana tidak berada di tempat duduk ketika sesi pembelajaran dalam kelas.

Alasan itu disifatkan sebagai tidak munasabah, bercanggah undang-undang dan tidak berperikemanusiaan, selain mangsa mendakwa ketiga-ketiga defendan cuai dan menuntut ganti rugi am, khas, teladan serta teruk dan permohonan maaf secara bertulis. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya