BUENOS AIRES: Bekas anggota kumpulan One Direction, Liam Payne, maut selepas terjatuh dari tingkap sebuah hotel di sini pada Rabu waktu tempatan.
Polis yang mengesahkan perkara itu memaklumkan mayat penyanyi tersebut ditemukan berdekatan sebuah hotel di jalan Costa Rica, sekitar kawasan kejiranan Palermo, di sini.
Polis bergegas ke hotel berkenaan selepas menerima laporan mengenai seorang lelaki yang bertindak luar kawalan dipercayai akibat pengaruh dadah dan alkohol.
Mendiang berada di Argentina bagi menghadiri konsert sahabatnya yang juga bekas anggota kumpulan yang sama, Niall Horan pada 2 Oktober lepas.
Payne meneruskan kerjaya solonya selepas One Direction mengumumkan perpecahan pada 2015.
Penyanyi berusia 31 tahun itu sebelum ini pernah menceritakan mengenai pergelutannya dengan masalah penyalahgunaan dadah dan rawatan yang dilaluinya untuk pulih.