Bekalan air di lokasi terjejas kini pulih sepenuhnya - PBAPP

Bekalan air di lokasi terjejas kini pulih sepenuhnya – PBAPP

Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Kesemua 118,000 pengguna yang terjejas akibat gangguan bekalan air berjadual (SWSI) di Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS) sejak beberapa hari lalu kini boleh menarik nafas lega apabila perkhidmatan tersebut berjaya dipulihkan sepenuhnya, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, hal ini demikian kerana, tiga kawasan kejiranan ‘terakhir’ yang menghadapi masalah air disebabkan berada di kawasan tanah tinggi dan hujung paip agihan (EoL) juga telah menerima bekalan air tersebut.

Beliau berkata, tiga kawasan itu ialah Persiaran Jawi Golf Resort, Jalan Sungai Duri dan Taman Widuri di SPS.

“Kira-kira pukul 1 pagi tadi, data yang direkodkan di Pusat Kawalan Bekalan Air Pulau Pinang menunjukkan bahawa tekanan air di kawasan kejiranan ini telah mencapai paras 10m ‘head’ (1 bar) pada kedudukan meter PBAPP. Bacaan sedemikian adalah untuk kawasan kediaman dan ia menunjukkan bahawa bekalan telah dipulihkan,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, lebih 40 kawasan di SPT dan SPS mengalami gangguan bekalan air susulan kerja-kerja penggantian bahagian saluran paip utama yang rosak di Permatang Pauh, Jumaat lalu.

Gangguan bekalan air yang sepatutnya hanya berlaku untuk tempoh 24 jam itu bagaimanapun berlarutan disebabkan insiden luar jangka yang melibatkan kerja pembaikan paip di Jalan Pengkalan Tambang di SPU ketika itu.

Mengulas lanjut, Pathmanathan berkata, kemungkinan punca pemulihan yang tertangguh itu adalah disebabkan oleh penggunaan air yang sangat tinggi di SPT dan SPS berikutan SWSI.

“Jadi, air terawat yang dipam ke SPS tidak dapat sampai ke kawasan kejiranan ini kerana air tersebut digunakan oleh pengguna yang terletak di hulu.

“Setelah tangki air dan takungan yang terletak di hulu (di SPT dan SPS) diisi semula, isipadu air yang mencukupi pada tekanan yang betul sampai kepada pengguna di Persiaran Jawi Golf Resort, Jalan Sungai Duri, dan Taman Widuri,” katanya.

Dalam pada itu, Pathmanathan berkata, PBAPP sekali lagi memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh semua pengguna yang terjejas akibat SWSI di Seberang Perai, baru-baru ini.

“Kami menghargai kesabaran dan kefahaman majoriti pengguna yang terjejas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya