DUNGUN: Bayi lelaki yang ditemukan setelah dibuang di sebuah parit di Pantai Paka, dekat sini, semalam, dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam sebelum bayi itu ditemukan seorang pemandu lori kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, pemeriksaan pegawai perubatan mengesahkan bayi seberat 2.01 kilogram dengan ukuran panjang 44 sentimeter dengan usia 36 minggu tiga hari dalam kandungan ketika dilahirkan.
“Pemeriksaan perubatan mendapati bayi itu tidak mempunyai sebarang kecederaan fizikal dan masih dirawat di Wad Pakar Kanak-kanak Hospital Kemaman,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Maizura berkata, pihak polis sedang giat mengesan individu yang membuang bayi tersebut.
“Kita minta kerjasama mana-mana individu yang melihat kejadian untuk turut tampil memberi maklumat berhubung kejadian,” katanya.
Menurutnya, bayi yang masih dirawat itu akan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk penjagaan selepas selesai rawatan pakar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi,” katanya.
Semalam, akhbar melaporkan seorang pemandu lori yang berhenti untuk berteduh di pantai itu terkejut menemukan bayi lelaki yang diletakkan dalam sebuah beg berwarna jingga dalam keadaan tidak berpakaian dan hanya dialas dengan sehelai kain lusuh. – UTUSAN