PETALING JAYA: Seorang remaja perempuan berusia 18, disyaki menjadi mangsa terbaharu sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar, selepas terpedaya dengan tawaran kerja kumpulan berkenaan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya mengesyaki mangsa mungkin bersama dengan kumpulan sindiket itu, menggunakan jalan tikus melalui Thailand untuk ke Myanmar.
Beliau berkata, ini kerana, remaja berkenaan tidak mempunyai pasport yang sah, ekoran bapa mangsa tidak membenarkan anaknya berbuat demikian kerana masih muda.
“Kedua-dua ibu bapa mangsa melaporkan kehilangan anak mereka di balai polis, setelah mendapat berita anaknya tidak bersama makciknya di Johor. Malah, gadis tersebut juga tidak dapat dihubungi.
“Beberapa hari kemudian, mangsa menghubungi ibu bapanya dan menyatakan agar tidak risau bahawa tempoh tawaran kontrak kerja yang diterimanya di Myanmar hanyalah satu tahun,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Bagaimanapun katanya, setelah genap satu tahun, mangsa menghubungi ibu bapanya mengatakan dia tidak dapat balik dan ditahan kumpulan berkenaan.
“Remaja tersebut diminta untuk membayar AS$10,000 bersamaan RM40,000 jika ingin berhenti kerja, bagi tambang pengangkutan mangsa untuk balik ke Malaysia. Dia turut diugut menggunakan kekerasan dan dikurung di bilik gelap sekiranya ingkar, dan tidak melakukan kerjam” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa yang ingin dikenali sebagai Risdawati, 42, berkata, dia bersama suami, Ong Bee Chon, 58, pemandu lori, tidak mampu menyediakan wang tersebut dan pernah meminta pertolongan daripada ahli keluarga serta kenalan terdekat, namun gagal.
“Anak saya memaklumkan, sekiranya dia tidak membayar RM40,000 kepada kumpulan itu, berkemungkinan besar, dia akan dijual kepada syarikat lain,” katanya.
Risdawati berkata, pada mulanya, anak sulungnya daripada tiga beradik itu, ingin mengikuti kawan bekerja di Singapura bagi mengisi masa lapang setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Namun, saya dan bapanya tidak mengizinkannya untuk bekerja di luar negara, kerana risau keselamatan dan jaminan kerja tersebut, dan hanya (membenarkannya) bekerja di dalam negara.
“Kemudian anak saya berkata, dia menerima tawaran kerja sebagai penyambut tetamu di sebuah kilang di Johor, dan kami membenarkan dia bekerja di situ ekoran kakak saya (makcik mangsa) menetap di sana,” katanya.
Jelasnya, selepas seminggu dia telah dihubungi kakaknya, apabila anaknya itu tidak lagi bekerja di kilang yang dinyatakan.
Dia kini tidak dapat menghubungi anaknya itu dengan kerap kerana dipercayai diawasi oleh kumpulan sidiket pada setiap masa.
“Kali terakhir saya hubungi dia pada Sabtu lepas, dan kadang-kadang kami menggunakan aplikasi WeChat untuk berhubung,” katanya.
Sehubungan itu, dia sekeluarga berharap agar kedutaan Malaysia di Myanmar dan kerajaan negara tersebut dapat membantu menyelamatkannya anaknya daripada kumpulan sindiket berkenaan. – UTUSAN