TANJUNG MALIM: Wang negara yang dicuri oleh bekas pemimpin yang disimpan di luar negara perlu dibawa pulang untuk membangunkan negara terutama membasmi kemiskinan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jika benar mereka mahu berjuang membela nasib Melayu, maka serahkan semula wang yang dicuri.
“Kalau benar pemimpin Melayu yang merompak kekayaan negara yang ada berbilion-bilion ringgit, kalau betul kamu pejuang, kalau betul mahu terus membela nasib Melayu, berapa harta kamu sekarang? RM1bilion, RM2 bilion.
“Di mana disimpan? Di England, di Eropah, berapa bilion, RM5 bilion? Adalah baiknya sebagai seorang pejuang tulen, serahkan balik wang yang kamu curi dan beri kepada rakyat dan negara.
“Kalau itu dapat dilakukan, apa yang diidamkan oleh Za’ba untuk membasmi kemiskinan orang Melayu mudah kita selesaikan,” katanya.
Beliau berucap pada Seminar 100 Tahun Za’ba Pemikir Kemiskinan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.
Program berkenaan bertujuan mengangkat jasa Za’ba atau Zainal Abidin Ahmad sebagai pemikir kritis dan keupayaan unik beliau menganalisis peradaban orang Melayu dalam semua aspek termasuk konsep kemiskinan merentas zaman.
Anwar berkata, pernah berjasa kepada negara bukan alasan untuk bekas pemimpin yang mencuri wang negara tidak boleh diambil tindakan undang-undang.
Menurutnya, perkara itu masih juga dijadikan alasan politik kononnya kasihan kerana dulu mereka pernah berjasa.
“Semua orang berjasa, ketua kampung berjasa, penghulu berjasa, tok imam berjasa tapi adakah dengan berjasa dia boleh curi duit masjid? Tidak boleh,” katanya.
Anwar berkata, dalam Kerajaan Madani usaha membasmi kemiskinan bermula dengan tata kelola di peringkat agensi pelaksana.
Katanya, Malaysia antara negara tertinggi di Asia yang menyediakan peruntukan untuk membantu orang miskin namun kadangkala bantuan tak sampai kepada golongan sasar akibat kebocoran dan ketirisan disebabkan salah guna iaitu dicuri.
“Bayangkan RM22 bilion setahun peruntukan dan kita urus dengan baik, sudah selesai masalah kemiskinan.
“Sebab itu untuk menyelesaikan masalah kemiskinan negara mesti bermula daripada tatakelola dan tadbir urus dari pimpinan terlebih dahulu. Baik pimpinan kerajaan, jabatan dan jangan tolak ansur memerangi rasuah dan salah guna kuasa.
“Kita ambil sikap tegas siapa yang punggah kekayaaan berbilion ringgit, tak peduli dulu atau sekarang tindakan harus diambil,” katanya.
Anwar menegaskan, negara mempunyai jentera pelaksana yang lengkap dalam membasmi kemiskinan.
Menurutnya, namun persoalannya adakah agensi itu diurus dan dilaksanakan mengikut caranya dengan telus dan bertanggungjawab.
“Sebahagian ya, sebahagiannya tidak. Sebab itu , dulu pada tahun 80-an antara kritikan keras saya pada Risda ialah badan pekebun kecil diberi dana ratusan juta ringgit oleh kerajaan untuk bantu pekebun kecil, bukan buat bangunan besar di Kuala Lumpur. Ini yang saya cuba lakukan walaupun tidak menyenangkan banyak pihak,” katanya.
Anwar berkata, menyelesaikan kemiskinan perkara tonggak dalam kerajaan Madai yang dilaksanakan melibatkan usaha pelbagai dimensi, perubahannya harus berstruktur, dengan memahami masyarakatnya terlebih dulu, mengkaji masyarakatnya dan bukan hanya memperkenalkan projek pembangunan.
Menurutnya, dalam menganalisa masalah kemiskinan orang Melayu yang pernah disinggung oleh Za’ba 100 tahun lalu, kerajaan harus melihat masyarakat itu dari pelbagai aspek, bagaimana ilmunya, perangainya dan pendidikan masyarakat Melayu.
“Dalam membasmi kemiskinan, jangan fikir hanya melaksanakan projek, kita lihat apakah dasarnya jelas dan betul, kerana ia juga melibatkan perubahan struktural.
“Masalah kemiskinan bukan hanya soal projek bantuan rakyat sahaja, ia bermula dengan melihat kepada punca seperti isu modal iaitu tanah, isu pemasaran, kecelaruan dalam sistem pemasaran.
“Contohnya ikan di Pantai Remis RM2, apabila sampai Ipoh RM6 dan sampai di Kuala Lumpur RM12, jadi ada kecelaruan, kecelaruan ini tidak membantu nelayan miskin,” katanya. – UTUSAN