Bawa anjing: Kompleks PKNS sedia bantu siasatan polis

Bawa anjing: Kompleks PKNS sedia bantu siasatan polis

POLISI Kompleks PKNS Shah Alam melarang pengunjung membawa haiwan peliharaan memasuki premis. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Lelaki yang didakwa cuba membawa seekor anjing masuk ke pusat beli-belah Kompleks PKNS di sini, baru-baru ini dikatakan mahu pergi ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi memperbaharui pasport.

Dia dikatakan mahu memperbaharui dokumen perjalanannya itu untuk pergi ke Jepun, namun enggan memberi kerjasama dengan pihak keselamatan pusat beli-belah berkenaan yang melarang sebarang haiwan peliharaan dibawa masuk secara terbuka.

Pengurus Pusat Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall, Syahril Mohd. Rashid berkata, lelaki itu bagaimanapun dihalang masuk kerana mahu membawa bersama anjing peliharaannya itu dan ia bertentangan dengan dasar bangunan Kompleks PKNS.

“Memang jelas dinyatakan haiwan peliharaan tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam bangunan Kompleks PKNS. Malah, kalau kucing sekali pun, pengunjung kena gunakan sangkar atau beg khas dan tidak membiarkan ia berkeliaran.

“Dalam kes tersebut, anjing itu cuba dijinjing oleh lelaki berkenaan secara terbuka, ia bukan sahaja melanggar peraturan, tetapi menimbulkan ancaman dan rasa tidak selesa dalam kalangan pengunjung lain yang majoritinya adalah beragama Islam,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Tambahnya, lelaki itu dapat dihalang daripada masuk ke dalam premis bersama anjing peliharaannya dan keadaan dikawal dengan bantuan polis yang membawanya meninggalkan pusat beli-belah berkenaan.

“Kita bertindak untuk selesaikan masalah dan memastikan ketenteraman di dalam Kompleks PKNS. Pada ketika itu memang kita terpaksa meminta bantuan polis kerana berlaku pertengkaran dengan pengawal keselamatan.

“Kita juga minta bantuan polis kerana emosi lelaki itu didapati tidak stabil kerana memaki hamun pengawal yang bertugas selepas tidak membenarkan dia masuk bersama haiwan peliharaanya itu,” jelasnya.

Katanya lagi, pihak PKNS juga sedia bekerjasama dengan polis untuk membantu siasatan.

Dalam pada itu, Syahril memberitahu, kes seumpama itu pertama kali berlaku di Kompleks PKNS walaupun polisi larangan membawa masuk haiwan peliharaan ke dalam premis sudah lama dikuatkuasakan.

“Ia pertama kali berlaku, cuma ada kes-kes sebelum ini haiwan seperti kucing, musang dan sebagainya dikesan memasuki premis, tetapi itu bukan dibawa masuk oleh sesiapa. Jadi, kita tangkap dan letak diluar.

“Ada juga pengunjung yang membawa kucing masuk menggunakan beg khas, itu dibenarkan asalkan ia tidak dilepaskan atau dibiarkan berkeliaran,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya