Bapa perbankan Islam Malaysia meninggal dunia

Bapa perbankan Islam Malaysia meninggal dunia

IHSAN / Bank Islam Malaysia Berhad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bapa perbankan Islam Malaysia, Datuk Dr. Abdul Halim Ismail meninggal dunia pada usia 85 tahun pagi ini.

Berita tersebut disahkan oleh Bank Islam Malaysia Berhad melalui satu hantaran di Facebook rasmi mereka.

Bank tersebut berkata, Abdul Halim merupakan seorang pemimpin berwawasan yang membentuk asas kewangan Islam di Malaysia.

Menurutnya, dedikasi dan semangat perintis Abdul Halim sudah memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan Bank Islam dan meninggalkan impak berkekalan dalam pembangunan industri kewangan Islam Malaysia.

“Sebagai peneraju pertama Bank Islam, beliau bukan sahaja menggalas cabaran untuk memperkenalkan sistem perbankan baharu, malah memimpin kami dengan kebijaksanaan dan visi jauh ke hadapan.

“Kepimpinan beliau sangat penting dalam merealisasikan impian, dengan sumbangan tidak terbilang yang akan sentiasa menjadi penanda asas perkembangan kami,” katanya melalui hantaran tersebut.

Mengulas lanjut, Bank Islam berkata, legasi Allahyarham tidak hanya terbatas dalam dinding bank tersebut tetapi menjangkau kehidupan ramai yang mendapat manfaat daripadanya.

Katanya, usaha Abdul Halim untuk memperjuangkan kewangan Islam membolehkan segenap masyarakat mendapat akses penyelesaian kewangan yang diperlukan.

“Ini termasuklah industri Takaful, pengurusan dana amanah Islam, pembrokeran saham dan lain-lain.

“Pada saat duka ini, kami merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan insan tersayang Almarhum. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di tempat tertinggi di Jannah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya