Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram, anak didakwa berkait Daesh

Bapa penyerang Balai Polis Ulu Tiram, anak perempuan didakwa berkaitan Daesh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Bapa seorang lelaki yang dikaitkan dengan serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan aktiviti keganasan termasuk berbai’ah kepada pemimpin kumpulan pengganas, Abu Bakar Al-Baghdadi.

Radin Imran Radin Mohd Yassin, 62, menghadapi tiga pertuduhan manakala anaknya Farhah Sobrina, 23, turut meminta dibicarakan atas satu pertuduhan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid. Beliau menetapkan 15 November ini untuk pengurusan kes.

Pertuduhan pertama, Radin Imran didakwa menggalakkan aktiviti pengganas Daesh dengan cara menanam ideologi keganasan kepada tiga individu termasuk isterinya, Rosna Jantan, 59, (warganegara Singapura) dan empat anaknya iaitu Radin Luqman, Radin Romyullah, 34, Farhah Sobrina dan Mariah, 19.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru di antara penghujung 2014 dan 17 Mei lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JG(a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Radin Imran didakwa memberi sokongan kepada perbuatan pengganas dengan cara menyimpan empat pucuk senjata api jenis senapang angin (buatan sendiri) kira-kira pukul 10.45 pagi, 17 Mei di tempat sama untuk menjalankan aktiviti kumpulan Daesh.

Lelaki itu turut didakwa atas pertuduhan ketiga iaitu memberi sokongan kepada kumpulan Daesh iaitu berbai’ah kepada Abu Bakar pada penghujung 2014.

Pertuduhan kedua dan ketiga dikemukakan mengikut Seksyen 130J(1)(b) dan Seksyen 130J(1)(a) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 40 tahun atau denda, dan hendaklah dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Di mahkamah yang sama, anak perempuan tertuduh, Farhah Sobrina mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja enggan memberi maklumat berkenaan kesalahan-kesalahan berkaitan Seksyen 130J(1)(a) dan Seksyen 130G(a).

Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di antara April 2017 dan 17 Mei lalu di rumah yang sama mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam dan peguam Fatima Zulaikha Ahmad Bashri mewakili kedua-dua tertuduh. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya