TAIPING: Pasangan suami isteri yang ditahan sebelum ini kerana dipercayai mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun Khamis lalu, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Taiping di sini.
Tertuduh, Abd. Razak Harun, 48, dan Syarifah Mat Yusof, 33, sebagai ibu bapa didakwa telah mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal.
Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Taman Permai Ladang Kalumpang, Bagan Serai di daerah Kerian pada Februari sehingga 10 Oktober 2024
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2021 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda hingga RM20,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Kedua-dua tertuduh yang memahami pertuduhan kemudiannya membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ng Yan Ni tidak menawarkan jaminan kepada pasangan suami isteri itu kerana bimbang berlaku kacau ganggu terhadap mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.
Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Varpal Singh Sago dalam mitigasinya memohon agar kedua-dua tertuduh ditawarkan jaminan dalam anggaran RM5,000 seorang.
Menurut beliau, Abd. Razak yang bekerja sebagai mekanik dan isteri pula seorang suri rumah berpendapatan bulanan sebanyak RM2,200 dan menanggung empat orang anak.
“Saya juga mencadangkan agar isteri tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk pemeriksaan kesihatan mental ekoran tertuduh sebelum ini pernah menerima rawatan di Hospital Parit Buntar bagi masalah kemurungan,” katanya.
Susulan permohonan tersebut, Yan Ni memaklumkan pihak pendakwaan tiada bantahan berhubung perkara itu.
Nabisha kemudian membenarkan Syarifah dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk mendapatkan laporan perubatan keadaan kesihatan mentalnya manakala tiada jaminan ditawarkan kepada suami wanita itu.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 14 November depan sementara menunggu laporan perubatan mangsa dan kesihatan mental wanita itu.
Media sebelum ini melaporkan, suami isteri itu ditahan susulan laporan polis berkaitan penderaan terhadap mangsa yang dilaporkan dengan beberapa kesan kecederaan di badan.
Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami luka di bahagian muka, dada, perut, kedua-dua belah tangan, kaki dan paha akibat dipukul. – UTUSAN