Banyak manfaat, Cuepacs mahu penjawat awam tandatangan SSPA

Banyak manfaat, Cuepacs mahu penjawat awam tandatangan SSPA

DATUK Adnan Mat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyeru 1.6 juta penjawat awam menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menawarkan pelbagai kelebihan dan memberi manfaat besar kepada mereka.

Presiden Cuepacs, Datuk Adnan Mat berkata, Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang dilaksanakan sejak 2002 umpama kerangka rumah yang lama dan sudah tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa negara. 

Kata beliau, setelah bertahun-tahun pihaknya berjuang untuk mendapatkan skim saraan baharu yang lebih adil dan kompetitif, jadi ini adalah peluang dan masa terbaik untuk semua penjawat awam menikmatinya. 

“Cuepacs berpendapat SSPA menawarkan pelbagai kelebihan yang akan memberi manfaat besar kepada semua sebagai penjawat awam. Antara kelebihan yang jelas akan diterima oleh penjawat awam adalah peningkatan pendapatan dan faedah. 

“SSPA memberi peluang kepada setiap penjawat awam untuk menikmati kenaikan gaji yang lebih kompetitif dan sesuai dengan keadaan ekonomi semasa. Penambahbaikan struktur gaji ini akan membantu meningkatkan pendapatan boleh guna bagi setiap penjawat awam sekali gus membantu mereka dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, malah penjawat awam juga akan menerima peluang kenaikan pangkat yang lebih adil melalui pelaksanaan SSPA manakala proses kenaikan pangkat akan menjadi lebih telus dan berasaskan prestasi serta meritokrasi. 

“Ini memastikan setiap usaha penjawat awam dihargai dengan sewajarnya. Dengan penekanan kepada prestasi dan kualiti kerja, penjawat awam berpeluang untuk meningkatkan kemampuan diri dan mencapai lebih banyak kejayaan dalam kerjaya,” katanya.

Katanya, Cuepacs  juga melihat SSPA turut memberi penekanan kepada kesejahteraan penjawat awam selepas bersara kelak apabila mereka berstatus tetap terus menikmati faedah pencen seperti biasa kerana pelaksanaan skim baharu tidak menjejaskan faedah pencen.

“Formula yang digunakan dalam pengiraan pencen, ganjaran dan gantian cuti rehat masih sama seperti yang diperuntukkan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980. Cuepacs percaya ketika ini semua pengurus sumber manusia setiap jabatan kerajaan telah mengadakan sesi libat urus mengenai Pekeliling SSPA bersama warga kerja masing-masing,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Cuepacs menyeru kepada semua penjawat awam untuk menandatangani opsyen SSPA mengikut tempoh yang ditetapkan sebelum 30 November ini.

Namun menurut beliau, pihaknya berharap semua jabatan kerajaan memberi ruang yang sepenuhnya kepada kakitangan masing-masing untuk mengemukakan persoalan mengenai opsyen SSPA selain menyalurkan maklumat yang jelas dan tepat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya