Bantah tindakan tembak mati haiwan liar - Utusan Malaysia

Bantah tindakan tembak mati haiwan liar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan yang dijalankan oleh Majlis Daerah Besut (MDB), Kuala Terengganu yang menembak mati anjing liar dilihat sebagai tindakan tidak berperikemanusiaan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bera, Nashriq Ismail Sabri berkata, masih terdapat langkah lain yang boleh diambil selain daripada membunuh malah turut membantah sekeras-kerasnya operasi penangkapan dan pelupusan anjing liar.

Tambah Nashriq, kerajaan boleh melaksanakan pemandulan terhadap anjing dan kucing liar sebagai langkah untuk mengatasi masalah gangguan terhadap orang awam.

“Telah tiba masanya untuk Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang membenarkan penggunaan senjata api terhadap haiwan, terutamanya terhadap anjing dan kucing liar dihapuskan serta merta.

“Salah satu langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan adalah untuk membina satu pusat perlindungan haiwan di setiap kawasan yang mempunyai masalah anjing atau kucing liar.

“Kerajaan juga boleh membenarkan NGO Pencinta Haiwan untuk menjaga tempat tersebut secara sukarela.

“Selain itu, pihak kerajaan juga boleh membuat operasi pemandulan anjing dan kucing liar agar boleh mengawal pembiakan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, anak kepada Perdana Menteri Kesembilan itu berkata, agensi bertanggungjawab seharusnya mencontohi negara-negara luar seperti Switzerland, Austria dan Australia dalam menjaga kebajikan haiwan.

“Saya amat berharap pihak kerajaan sedia mendengar suara daripada pencinta haiwan di negara ini dan bekerjasama dalam mengambil langkah yang lebih baik untuk mengatasi masalah anjing dan kucing liar di negara ini.

“Lagi-lagi negara kita yang majoritinya orang Islam wajib mengikuti perintah Allah SWT dengan tidak menyakiti mana-mana haiwan, lagi-lagi membunuh.

“Jadi jangan la kita ‘menghalalkan’ cara hanya kerana ada ‘SOP’ yang telah ditetapkan di dunia,” ujarnya.

Terdahulu, MDB telah melakukan operasi bersepadu untuk menangkap dan melupuskan anjing liar di beberapa kawasan di Bandar Jertih selepas menerima 62 aduan mengenai gangguan haiwan tersebut daripada orang awam.

Menurut MDB, tindakan melupus anjing liar adalah mengikut prosedur Tatacara Operasi Piawai (TOP) ditetapkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan selari dengan peruntukan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya