Bank Rakyat terbit Sukuk Kelestarian sulung bernilai RM500 juta 

Bank Rakyat terbit Sukuk Kelestarian sulung bernilai RM500 juta 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Rakyat berjaya menerbitkan Sukuk Kelestarian sulungnya berjumlah RM500 juta selaras dengan komitmen teguh terhadap agenda kelestarian di bawah program Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Bank Rakyat.

Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, penawaran ini juga dilaksanakan melalui proses penetapan harga secara kompetitif pada 1 Oktober 2024 di bawah Program Sukuk Wakalah Senior dengan had penerbitan keseluruhan sebanyak RM10 bilion yang diberikan penarafan AA2 oleh RAM Rating Services Berhad.

Menurutnya, penerbitan sulung bagi Sukuk Kelestarian itu merangkumi dua bahagian iaitu RM150 juta untuk tempoh lima tahun dan RM350 juta untuk tempoh tujuh tahun. 

“Penerbitan Sukuk Kelestarian tersebut menerima permintaan yang tinggi dan terbukti dengan lebihan langganan sebanyak 5.00 kali dan ditutup pada 3.53 kali daripada jumlah terbitan sebenar dan sekali gus mencerminkan keyakinan kukuh pihak pelabur terhadap inisiatif pembiayaan lestari Bank Rakyat.

“Penerbitan Sukuk Kelestarian ini mendapat sambutan baik daripada pelbagai segmen pelabur dan telah diagihkan dalam kalangan institusi kewangan tempatan, agensi kerajaan, pengurus aset dan syarikat insurans yang menonjolkan daya tarikan bagi peluang pelaburan memfokuskan kepada kelestarian,” katanya hari ini.

Terdahulu, Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Bank Rakyat diiktiraf dengan Penilaian Impak ‘Emas’ oleh MARC Ratings Berhad dan terbitan itu telah dilaksanakan melalui syarikat tujuan khas (SPV) Imtiaz Sukuk II Berhad.

Tambah Bank Rakyat, hasil daripada penerbitan itu akan disalurkan untuk membiayai perniagaan dan projek yang secara langsung menyokong lapan daripada 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Komitmen ini bukan sahaja menyokong objektif Bank Rakyat sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab tetapi juga menekankan dedikasi untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi masyarakat serta menyokong kelestarian alam sekitar.

“Bank Rakyat merakamkan penghargaan kepada semua pelabur atas sokongan luar biasa terhadap penerbitan Sukuk Kelestarian ini yang mencerminkan keyakinan terhadap asas kewangan Bank. 

“Penerbitan ini juga menjadi bukti pendekatan inovatif Bank Rakyat dalam sektor kewangan Islam sekali gus mengukuhkan peranannya dalam memajukan inisiatif pembiayaan yang berfokus kepada SDG,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya