Banjir terburuk di Sungai Siput sejak 2014 - Utusan Malaysia

Banjir terburuk di Sungai Siput sejak 2014

RUMAH yang terjejas banjir terletak berdekatan Sungai Pelus di Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput ketika tinjauan hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Penduduk di Kampung Pulau Mentimun, Sungai Siput di bawah daerah Kuala Kangsar di sini  menyifatkan banjir yang melanda kampung itu terburuk selepas banjir tahun 2014.

Setakat pukul 2 petang ini, Kuala Kangsar mencatat 578 mangsa banjir daripada 168 keluarga yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS).

Lain-lain daerah mencatat mangsa banjir ialah Muallim seramai 334 mangsa di tiga PPS, Kerian 111 mangsa di dua PPS dan Hulu Perak seramai 172 mangsa di enam PPS menjadikan keseluruhan mangsa banjir di Perak kepada 1,195 orang setakat pukul 2 petang.

Tinjauan di Sungai Siput mendapati beberapa rumah dinaiki air akibat limpahan Sungai Pelus yang turun dari bukit kawasan Kuala Mu.

Seorang penduduk, Salehuddin berusia 62 tahun yang menumpang di sebuah rumah penduduk kampung, menyifatkan kejadian banjir kali ini antara yang terburuk sejak banjir besar pada tahun 2014.

“Sebelum ini kerap juga hujan dan air naik sedikit. Tetapi kali kesannya agak teruk. Apabila air naik, kami cuba menyelamatkan perabot-perabot penting. Ada juga yang tidak berjaya diselamatkan,” katanya.

Hasil tinjauan juga, ada penduduk yang enggan pergi ke PPS kerana mendapatkan perlindungan di rumah berdekatan yang selamat dan bagi mereka ia mudah untuk kembali ke rumah masing-masing apabila air sedikit surut.

Ketua Kampung Pulau Mentimun, Sariman Mohd. Shohor, 63 tahun berkata, kawasan masjid juga dijadikan lokasi sementara untuk berteduh sebelum menantikan bantuan agensi penyelamat.

“Pada mulanya ada juga penduduk yang hanya mahu tinggal di masjid sahaja. Tetapi apabila air semakin naik dan tandas pun tidak boleh digunakan, mereka akhirnya akur untuk pergi ke kawasan lebih selamat,” katanya yang turut berpendapat banjir kali ini hampir sama buruk dengan kejadian tahun 2014.

Beliau turut mencadangkan agar PPS turut dibuka di beberapa kawasan yang selamat dan berdekatan dengan kawasan penempatan.

Dianggarkan hampir 30 buah rumah di Kampung Pulau Mentimun yang terjejas.

Pada tahun 2014, kejadian banjir telah menjejaskan daerah Kuala Kangsar termasuk di pusat bandar yang dinaiki air lebih dua meter. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya