Banjir: Bimbang rumah roboh jadi kenyataan - Utusan Malaysia

Banjir: Bimbang rumah roboh jadi kenyataan

MOHD Naim Asri Baharom membuang kayu-kayu pokok yang hanyut ke dalam rumahnya yang roboh ketika banjir puing di Kampung Teluk Rambong, Baling.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Perasaan bimbang seorang penduduk berkemungkinan berlaku lagi banjir puing yang lebih serius menjadi kenyataan apabila sebahagian struktur rumahnya roboh dihanyutkan arus deras, malam tadi.

Mohd Naim Asri Baharom, 46, berkata, sejak beberapa hari lalu dia sudah tidak sedap hati apatah lagi bila berlakunya hujan lebat yang bermula di sebelah petang.

“Saya berada di rumah jiran ketika itu, hujan lebat mula pukul 5 petang semalam disertai angin kencang. Lebih kurang dua jam kemudian, air sungai yang berada di hadapan rumah saya naik semakin tinggi.

“Dalam kegelapan itu saya nampak sebahagian hadapan rumah sudah roboh. Sekitar pukul 9 malam apabila air kembali surut, saya kembali ke rumah dan melihat keadaannya rosak teruk serta kesemua barangan telah hanyut.

“Sebuah jambatan kayu yang dibina orang kampung bagi menggantikan jambatan besi yang runtuh turut berada dalam rumah saya,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Naim berkata, dia baru sahaja membaik pulih rumah pusaka yang sudah berusia kira-kira 40 tahun itu, namun tergendala selepas dilanda banjir pertama pada 30 September lalu.

“Tetapi kini semuanya telah hilang dan musnah selepas dilanda banjir kali ketiga, saya rasa sangat sedih tetapi terpaksa bersabar mungkin perlu mencari tempat baharu yang lebih selamat dan bebas banjir untuk bina rumah,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk di Kampung Batu Lapan, Mukim Siong, terkejut apabila terdengar bunyi dentuman kuat di belakang rumahnya yang rupa-rupanya merobohkan struktur dapur dan bilik air kediamannya ke dalam sungai.

Samsudin Nawang, 60, berkata, dia dan isterinya, Azizah Rahim, 58, ketika kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu belum dapat melelapkan mata kerana bimbang dengan cuaca hujan yang terlalu lebat.

“Kami bimbang sesuatu tidak diingini berlaku, tambahan pula rumah kami berdekatan dengan sungai, hanya satu meter sahaja dari tebingnya.

“Sewaktu kejadian, kami terdengar arus air sungai yang mengalir deras, tiba-tiba sahaja bunyi dentuman kuat di belakang rumah lalu kami bergegas ke belakang dan melihat dapur serta bilik air runtuh di terjah arus banjir,” katanya.

Menurutnya, pokok durian yang menjadi benteng di belakang dapur rumahnya turut tumbang menyebabkan air sungai lebih mudah menerjah tebing.

“Banjir sebelum ini pun telah menyebabkan tebing sungai semakin terhakis dan tak sangka kali ini lebih teruk. Saya dan isteri hanya mampu melihat dan berlari keluar ke tempat selamat kerana bimbang berlaku lagi runtuhan yang lebih serius,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya