Banjir: Air semakin naik, haiwan berbisa masuk rumah - Utusan Malaysia

Banjir: Air semakin naik, haiwan berbisa masuk rumah

PENDUDUK berpindah keluar setelah limpahan air Sungai Anak Bukit semakin tinggi di Kampung Alor Madi, Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebahagian penduduk di Anak Bukit, di sini yang tidak berpindah keluar dari rumah akibat banjir terpaksa berbuat demikian selepas limpahan Sungai Anak Bukit menjadi semakin tinggi, selain kehadiran haiwan berbisa.

Menurut penduduk Kampung Alor Madi, Saniyah Murad, 52, pada awalnya dia sekeluarga tidak berpindah kerana keadaan banjir di kawasan rumah mereka tidak teruk.

“Air masuk perlahan-lahan sejak Isnin lalu, namun malam kelmarin berlaku hujan lebat sekali lagi menyebabkan bahagian dapur dan bilik tidur digenangi air.

“Pagi semalam, air semakin naik dan paling mencemaskan apabila anak menjerit beritahu ada ular kapak di dalam bilik air,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Katanya, dia dan suami membuat keputusan untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) pada kelmarin apabila melihat Sungai Anak Bukit yang semakin deras dan melimpah.

“Semua barang elektrik kami angkat ke tempat tinggi dan harap banjir kali ketiga ini tidak teruk seperti kejadian pertama. Namun, kalau tengok keadaan cuaca yang mendung dan ramalan air pasang besar pada 18 Oktober ini, mungkin keadaan boleh jadi lebih teruk.

“Apa pun, bagi saya keselamatan keluarga paling penting kerana harta boleh dicari, cuma saya teringatkan 12 ekor kucing di rumah. Suami akan pergi tengok kucing-kucing itu setiap hari untuk beri makan,” ujarnya.

Seorang lagi penduduk, Rozaini Ahmad, 49, berkata, dia sekeluarga juga tidak berpindah awal kerana keadaan banjir tidak teruk, selain bapa yang uzur enggan keluar kerana sukar bergerak.

“Ayah bergerak guna kerusi roda, jadi kalau boleh dia memang tak mahu pindah kerana susah nak bergerak selain dia kata tidak mahu kacau anak-anak.

“Bagaimanapun, kami sekeluarga terpaksa juga berpindah keluar kerana rumah sudah dimasuki air. Buat sementara ini, kami tinggal di rumah adik di Alor Setar,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk kampung berhampiran iaitu Kampung Alor Ganu, Zakaria Darus, 68, berkata, hujan lebat di kawasan hulu iaitu di daerah Padang Terap menyebabkan air sungai turun ke daerah Kubang Pasu seterusnya ke Kota Setar.

“Keadaan itu menyebabkan banyak kawasan terutama yang terletak di tepi sungai dilanda banjir. Biasanya kalau hujan hari-hari di sini pun, air tidak akan naik,” katanya.

Katanya, dia belum berpindah ke PPS buat masa ini dan kini tinggal di tingkat atas rumahnya kerana bimbang dengan barangan yang ditinggalkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya