Bangunkan kilang gula pisang di Perlis - Utusan Malaysia

Bangunkan kilang gula pisang di Perlis

WAN Rosli Wan Ishak (tiga dari kiri) menerangkan mengenai kajiannya menghasilkan gula dengan berasaskan pisang di Kangar, Perlis.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) di Padang Besar berpotensi untuk dibangunkan kilang bagi pengeluaran gula dengan berasaskan pisang.

Ahli Lembaga Pengarah Dewan Perniagaan, Perindustrian dan Pelaburan Malaysia-Wuxi, China (DPPPM-WC), Datuk Dr. Hassan Saad berkata, pihaknya telah menandatangani dokumen surat niat (LoI) bersama Universiti Sains Malaysia (USM) yang berjaya menjalankan pembangunan dan penyelidikan (R&D) menghasilkan gula berasaskan pisang itu.

Katanya, potensi yang terdapat di CVIA mendorong DPPPM-WC melabur di sana bagi membina kilang pengeluaran gula berkenaan hasil kejayaan RnD selama enam tahun itu.

Ujarnya, Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak sebelum ini telah berjaya dalam kajiannya bagi menghasilkan gula berasaskan pisang itu.

“Kita melihat potensi pengeluarannya itu boleh dilaksanakan di CVIA. DPPPM-WC juga melihat sejarah dulu di mana Perlis menghasilkan gula melalui tebu tapi kali ini mungkin kita cuba tukar kepada pisang pula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan DPPPM-WC di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, kewujudan kilang gula pisang itu dapat membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan sekali gus menjadikan Perlis sebagai pengeluar makanan utama.

Katanya, pelaksanaan ini juga dapat memenuhi matlamat pembangunan di CVIA di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara  (NCER). Selama ini, pengeluaran gula pisang ini dihasilkan menerusi kilang percubaan dan kami kemudiannya melihat potensi di CVIA bagi pembinaan kilang untuk pengeluaran dengan skala lebih besar bagi tujuan pasaran,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai hasil kajian tersebut, Wan Rosli berkata, gula berkenaan dihasilkan menggunakan pisang ranum tahap tujuh yang mana mengandungi glukosa rendah.

Katanya, pisang itu juga akan dikisar dengan air dan turut melalui proses bersama unsur pembawa bagi menjadikannya serbuk.

“Dengan teknologi kita bangunkan ini, pengguna bukan sahaja dapat gula alternatif dengan glukosa rendah, namun juga kita masukkan serat melalui pisang bagi penghasilannya.

“Dianggarkan 1.4 tan metrik pisang dibuang setiap hari apabila kulitnya mula kehitaman, jadi untuk menggelakkan pembaziran, kami buat kajian ini di mana pisang juga merupakan buah-buahan tidak bermusim dan mudah untuk mendapatkan bekalan,” katanya.

Tambahnya, buat masa ini, terdapat sebilangan kecil pegeluar telah menghasilkan gula berasaskan pisang namun tidak ada di antara mereka mempunyai kandungan serat seperti mana penyelidikan dilakukan oleh pihaknya.

“Kajian intervensi juga sedang dilakukan buat masa ini dan kita jangkakan 2025 gula ini akan mula masuk ke pasaran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya