Bangsal dalam kebun pisang jadi lokasi seleweng diesel - Utusan Malaysia

Bangsal dalam kebun pisang jadi lokasi seleweng diesel

TONG dram dan tangki IBC yang menyimpan diesel tanpa lesen atau permit sah oleh sindiket penyeludupan di Kampung Kepala Kerbau, Kubang Pasu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Sindiket penyeludupan diesel menjadikan sebuah bangsal dalam kebun pisang sebagai tempat penyimpanan bahan api itu di Kampung Kepala Kerbau, di sini.

Bagaimanapun taktik licik tersebut akhirnya terbongkar hasil serbuan sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah.

Pengarah Pejabat KPDN negeri, Muhammad Nizam Jamaluddin berkata, serbuan pihaknya kira-kira pukul 11 pagi tadi menemukan kira-kira 4,000 liter diesel dianggarkan bernilai RM11,800.

“Ketika serbuan tiada individu di lokasi itu dan semakan mendapati diesel itu disimpan tanpa lesen atau permit yang sah. Minyak itu dipercayai diletakkan di situ sebelum diseludup ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kata beliau, berdasarkan risikan, lokasi tersebut dipercayai baru beroperasi kira-kira tiga minggu lalu.

“Penyeludup dipercayai mendapatkan diesel berkenaan dari stesen-stesen minyak berhampiran,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya turut merampas tiga tangki intermediate bulk container (IBC), sembilan tong dram dan beberapa peralatan memindahkan minyak diesel.

Dalam kes berasingan katanya, KPDN menyerbu sebuah premis di Pekan Simpang Kuala, Alor Setar kerana disyaki menjual bateri serta pelapik telefon bimbit menggunakan cap dagangan berdaftar palsu.

Menurutnya, sebanyak 99 bateri telefon bimbit dan 42 pelapik bernilai RM2,610 disita untuk tujuan siasatan dengan serbuan turut disertai oleh wakil pemilik cap dagangan berdaftar berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya