Banglo dirompak, pemilik rugi RM0.6 juta

Banglo dirompak, wang tunai, barang bernilai RM0.6 juta dibawa lari

Banglo
TANGKAP layar daripada rakaman CCTV banglo berkenaan memaparkan kejadian rompakan dekat Pandamaran, di Klang, Selangor, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Sebuah keluarga menempuh detik menakutkan apabila banglo mereka dekat Pandamaran di sini, dimasuki sekumpulan penjenayah berparang yang melarikan wang dan barangan bernilai RM600,000 semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu turut mengakibatkan seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun cedera akibat ditetak pada bahunya oleh suspek.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki mengenai kes pecah masuk rumah tiga tingkat itu.

Menurutnya, siasatan mendapati seramai 10 hingga 12 suspek dipercayai warga tempatan menaiki kereta Honda Civic putih dan Toyota Vios hitam.

“Selepas meletakkan kenderaan di hadapan rumah itu, kesemua suspek yang memakai penutup muka, bersarung tangan dan berparang memanjat tembok pagar dan menarik pintu jeriji.

“Suspek kemudian memasuki semua bilik rumah itu dan mengikat tiga mangsa sebelum menggeledah barangan,” katanya hari ini.

Jelas Hoong Fong, ketika kejadian salah seorang penghuni berjaya menelefon polis bagi mendapatkan bantuan, namun kesemua suspek akhirnya melarikan diri.

“Pemeriksaan mendapati suspek melarikan tunai, patung sembahyang dan barang kemas yang semuanya dianggarkan RM600,000. Kejadian itu turut mengakibatkan seorang mangsa ditetak dengan parang dan menerima empat jahitan di bahu kirinya,” ujarnya.

Tambah beliau, pihaknya membuka kertas siasatan kes itu mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Polis sedang mempergiatkan usaha mengesan dan menahan suspek terlibat. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta tampil di balai polis berdekatan bagi tindakan lanjut,” katanya.

Terdahulu, tular dua video memaparkan sekumpulan penjenayah memanjat tembok dan memecah masuk rumah itu sebelum menggeledah serta mengikat beberapa mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya