‘Baiya’ tak mengaku heret kucing guna motosikal - Utusan Malaysia

‘Baiya’ tak mengaku heret kucing guna motosikal

Heret kucing
MONOTOSH hadir ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan menyeksa haiwan, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang lelaki warga Bangladesh mengaku tidak bersalah mengheret seekor kucing di sekitar bandaraya ini bulan lalu, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh, Monotosh, 41, membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, Monotosh bersama seorang lagi tertuduh dengan kejam mengikat seekor kucing dewasa dengan sebuah alat penjerut lalu mengheret haiwan malang itu sambil menunggang sebuah motosikal di atas jalan raya sehingga mengakibatkan kesakitan.

Bagaimanapun, lelaki berusia 44 tahun itu didapati tidak hadir bagi menghadapi pertuduhan tersebut.

Justeru mereka didapati melakukan kesalahan tersebut pada 7 September lalu antara pukul 2 hingga 2.15 petang dekat kawasan perumahan Long Branch Residence, di Seksyen 31, di sini.

Monotosh dan Dipak dituduh di bawah Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh juga dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama.

Sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau dipenjarakan selama tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pegawai Pendakwa Raya Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS), Mohd. Sharif Sabran kemudian memohon mahkamah mengenakan ikat jamin terhadap Monotosh sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin, yang penjamin mesti seorang warga Malaysia.

Malah beliau juga memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap ke atas tertuduh yang didapati tidak hadir prosiding tersebut.

Namun peguam yang mewakili Monotosh, K. Bagia Sri Devi memohon mahkamah mengenakan denda RM10,000 kepada anak guamnya kerana pendapatan bulanan yang kecil diperoleh Monotosh, iaitu sekitar RM1,500 sebulan.

“Dia sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak, namun keluarganya tidak berada di negara ini. Anak guam saya juga tidak mempunyai ahli keluarga lain yang berada di Malaysia.

“Malah anak guam saya sentiasa hadir setiap kali sesi siasatan dijalankan dan memberikan kerjasama baik. Dia juga tidak mempunyai kesalahan lampau di negara ini,” jelasnya.

Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM13,000 dengan penjamin mesti seorang warga Malaysia berserta syarat tambahan iaitu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.

Dalam masa sama, hakim turut membenarkan waran tangkap dikeluarkan terhadap tertuduh tidak hadir yang berkuat kuasa hari ini.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 4 November ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya