Ayda Jebat kekal identiti - Utusan Malaysia

Ayda Jebat kekal identiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI seorang penghibur, bukanlah suatu perkara yang mudah bagi mereka yang bergelar anak seni. Perkara itu boleh dikatakan memerlukan masa yang lama untuk mencuba mengenal pasti identiti diri.

Tidak terkecuali dengan seorang penyanyi, bukan semua mampu tampil dengan pelbagai genre lagu. Boleh dianggap bonuslah sekiranya penyanyi itu mampu membawa semua genre yang ada industri muzik tanah air.

Begitu juga dengan pemilik nama Nur Suhada Jebat atau nama ‘glamour’ Ayda Jebat, ramai yang tahu dia terkenal membawakan lagu yang berkonsep rancak dan bergenre Pop.

Lagu seperti Nakal Nakal Nakal, Pencuri Hati, Temberang dan Parah Parah kekal malar segar untuk pendengar dan peminat setianya. Kini, penyanyi itu tampil dengan lagu baharu yang berjudul Memerang sekali gus mengimbau kembali zaman ketika lagunya menjadi siulan ramai.

Menurut Ayda, dia sangat teruja dapat kembali dengan lagu yang bergenre pop EDM seperti Memerang ini memandangkan dirinya sudah beberapa kali muncul dengan lagu balada.

“Sebelum lagu ini dikeluarkan, saya sudah keluarkan beberapa lagu balada. Jadi bila dapat kembali dengan lagu bergenre pop seperti Memerang, saya sangat gembira. Bila dengar saja lagu ini, orang akan tahu itulah Ayda Jebat.

“Sewaktu saya tampil dengan lagu sedih, orang selalu tanya bila hendak keluarkan lagu baru yang ceria seperti Temberang dan Pencuri Hati. Jadi, apabila ditawarkan lagu ini, ia sangat memenuhi kriteria dan mood yang saya suka,” katanya.

Ditanyakan mengenai kos keseluruhan pembikinan lagu dan video muziknya, Ayda memberitahu dirinya tidak pernah kisah berbelanja lebih demi memuaskan hati peminatnya yang rindu dengan karyanya.

Mana tidaknya, siapa yang mengenali ibu kepada dua orang cahaya mata ini pasti tahu dia akan korbankan apa sahaja untuk mendapatkan hasil kerja yang terbaik dan memuaskan hati semua pihak.

“Tidak perlu sentuh pasal koslah sebab, saya sudah lama tidak tampil dengan lagu berentak pop. Semua orang tahu saya suka berbelanja lebih tapi untuk video muzik ini saya ada juga dapat beberapa tajaan. Tetapi tidaklah cecah ratusan ribu ringgit. Bagi saya, kalau semua gembira, saya pun berpuas hati,” jelasnya.

TAK SESUAI?

Ditanyakan sekiranya berhasrat untuk menghasilkan lagu berlainan genre, penyanyi itu enggan mengambil risiko untuk membawa lagu R&B dan jazz kerana merasakan ia tidak sesuai dengan ton suaranya.

“Sebenarnya, kalau mengikut genre suara saya boleh cuba pelbagai genre. Saya boleh bawa lagu irama Malaysia, rock, pop dan balada. Cuma, saya rasa kalau lagu R&B dan jazz bukan jiwa saya. Saya juga baru tahu, lagu Pencuri Hati versi dangdut lagi tinggi rating dari versi original,” katanya.

Meskipun kemunculan semulanya menerusi lagu yang rancak diterima baik, Ayda bagaimanapun terbuka menerima kritikan yang menyatakan dia tidak lagi sesuai membawakan konsep seperti lagu Memerang.

Cakna dengan pendapat yang menyatakan dia tidak sesuai kerana sudah berusia dan memegang status anak dua, Ayda kekal positif menganggap setiap individu mempunyai pendengaran yang subjektif.

“Nama pun peminat, ada yang suka, ada yang rasa tidak sesuai. Bagi saya, saya suka. Kalau nak lagu yang matang, saya pernah bawa lagu yang matang. Tapi, ada yang lebih suka saya menyanyikan lagu rancak sahaja.

“Dan kalau ada yang mahukan saya keluarkan lagu yang bersesuaian dengan status saya sebagai seorang dan usia saya, perkara itu adalah subjektif,” ujarnya.

Kata Ayda lagi, dia lebih seronok menghasilkan lagu-lagu yang bersesuaian dengan peredaran zaman supaya identitinya kekal relevan di hati peminat dan pendengar.

“Bila semakin dewasa dalam industri ini, saya rasa perlu mengikut peredaran masa itu. Kalau semua boleh terima, saya gembira. Ini boleh dikatakan saya sudah kembalikan identiti saya.

“Cuma, sewaktu saya keluarkan lagu Pencuri Hati dan Temberang itu vibes yang berbeza. Siapa lagi yang boleh bawakan lagu seperti ini selain saya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya