Ayam tandoori punca keracunan, JKNK arah restoran ditutup

Ayam tandoori punca keracunan, JKNK arah restoran ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengarahkan sebuah restoran di Pengkalan Chepa di sini ditutup susulan pelanggan yang berkunjung ke premis berkenaan mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada masakan ayam tandoori.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, siasatan awal mendapati kesemua individu terlibat mempunyai sejarah memakan hidangan berkenaan di restoran tersebut pada 17 Oktober lalu.

Menurutnya, kes ini merupakan kejadian berulang dan pernah berlaku pada Januari lalu.

“Pada 18 Oktober lalu, kita (JKNK) menerima notifikasi berkait kejadian keracunan makanan daripada klinik swasta dan hospital kerajaan melibatkan kes berkenaan.

“Sehingga pukul 2 petang tadi, sejumlah 108 kes melibatkan gejala-gejala seperti cirit-birit, sakit perut, demam, pening dan muntah dikesan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Zaini memberitahu, daripada jumlah itu, 50 orang menerima rawatan sebagai pesakit luar dan 40 kes lagi tidak mendapatkan rawatan.

“Bagaimanapun, 18 kes dimasukkan ke wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan beberapa hospital swasta.

“Daripada jumlah itu, sembilan kes telah dibenarkan keluar manakala sembilan lagi masih dalam rawatan. Alhamdulillah, kesemua kes berada dalam keadaan stabil,serta tiada kematian dilaporkan,” ujarnya.

Zaini berkata, JKNK sudah melakukan pemeriksaan ke atas premis berkenaan pada 18 Oktober lalu.

Katanya, 16 sempel diambil iaitu klinikal pesakit, pengendali makanan, makanan, air dan persekitaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN