KUALA TERENGGANU: Sebanyak 200 ekor ayam segar yang dijual dengan harga RM7 sekilogram habis dalam masa 30 minit sempena Jualan Agro Madani di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Terengganu di Bukit Bayas, di sini, hari ini.
Jualan Agro Madani mendapat sambutan penduduk berdekatan apabila mereka memenuhi pekarangan PPK Kuala Terengganu seawal pukul 7 pagi untuk membeli barangan keperluan dengan murah.
Antara barangan lain yang dijual adalah telur ayam gred A yang dijual RM12 sepapan, daging RM27 sekilogram dan puyuh segar RM1 seekor.
Seorang penduduk Kampung Pasir Panjang, Abdul Ghani Razak, 48, berkata, dia mengambil kesempatan Jualan Agro Madani ini untuk membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah.
Menurutnya, dia dapat jimat berbelanja dengan membeli-belah di tapak jualan tersebut.
“Penganjuran Jualan Agro Madani itu banyak membantu meringankan beban penduduk terutama golongan B40,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang suri rumah, Azilah Mamat, 35, dari Kuala Ibai berkata, dia berharap program jualan iru dapat diteruskan di sini untuk memberi peluang kepada penduduk membeli barangan keperluan dengan harga murah.
“Saya mengambil kesempatan membeli ayam segar yang dijual RM7 sekilogram berbanding harga di pasaran RM10 sekilogram,” ujarnya. – UTUSAN