AW149 untuk TUDM berbeza dengan kegunaan awam - Panglima - Utusan Malaysia

AW149 untuk TUDM berbeza dengan kegunaan awam – Panglima

MOHD Asghar Khan Goriman Khan menyematkan sayap penerbangan kepada graduan sempena Majlis Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter di KTU, Kepala Batas, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Helikopter Leonardo AW149 yang bakal menggantikan Nuri atau Sikorsky S-61 kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dipastikan memenuhi spesifikasi ketenteraan bagi keperluan penugasan cabang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.

Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan berkata, spesifikasi helikopter yang akan diterima pihaknya sama sekali berbeza dengan helikopter jenis sama untuk kegunaan awam.

Menurutnya, helikopter tersebut amat sesuai untuk melaksanakan tiga penugasan utama iaitu mencari dan menyelamat (SAR), pencarian dan penyelamatan tempur (CSAR) serta utiliti.

“Dalam hal ini, kami telah menyenaraikan spesifikasi bermula dari satu tahap tertentu, hingga ke tahap yang lebih tinggi bagi melaksanakan tugas-tugas itu. Penilaian dilakukan mendapati Leonardo AW149 dengan spesifikasi ketenteraan ini, dilihat berada dalam lingkungan tahap spesifikasi diperlukan.

“Jika kita memilih untuk mendapatkan helikopter jenis lain, kita mungkin perlu berbelanja lebih. Lagi pun kos operasi Leonardo AW149 ini mungkin lebih rendah daripada helikopter jenis lain.

“Jadi pertimbangan sewajarnya telah dibuat dalam hal ini dan TUDM tiada isu dengannnya. Helikopter ini memenuhi spesifikasi yang kami nyatakan dan ia mampu melaksanakan tugasan-tugasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Perbarisan Pemakaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan 85/23 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter 65/23 di Kolej Tentera Udara (KTU) di Kepala Batas di sini, hari ini.

Baru-baru ini, bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz mempersoalkan pemilihan Leonardo AW149 bagi menggantikan Nuri kerana mendakwa helikopter itu lebih bersifat untuk kegunaan awam di pelantar minyak, berbanding kegunaan tempur.

Ahli Parlimen Tanah Merah itu mendakwa, berbanding Leonardo AW149, helikopter H225M (EC725 Caracal) mempunyai keupayaan lebih baik dan perlu dijadikan sebagai pilihan jika usaha untuk mendapatkan Black Hawk sukar.

Mengulas lanjut Mohd. Asghar berkata, helikopter berkenaan bakal diperolehi secara sewa beli iaitu pihaknya tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan terhadap aset tersebut.

“Sekiranya kontrak sewa beli itu dimeterai untuk tempoh 15 tahun, itu bererti kami akan memperolehi aset tersebut selepas tempoh berkenaan. Pihak kami tidak perlu membuat sebarang penyelenggaraan sebaliknya kerja-kerja itu akan dilakukan oleh kontraktor.

“Dalam masa sama, TUDM juga akan menghantar krew untuk diberi latihan mengenai helikopter ini. Ertinya jika helikopter tersebut perlu dihantar ke mana-mana dalam keadaan tertentu, kami juga boleh melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan tanpa kehadiran kontraktor,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya