Aurad Muhammadiah sudah lama ditinggalkan - Anak Ashaari

Aurad Muhammadiah sudah lama ditinggalkan – Anak arwah Ashaari

Aurad Muhammadiah
KHAULAH Asaari ditemui pemberita dalam sidang akhbar khas bersama barisan peguam GISBH di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Aurad Muhammadiah yang didakwa diamalkan oleh pengikut syarikat Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) sudah pun ditinggalkan sejak kumpulan itu mengikuti kursus oleh jabatan agama Islam negeri serta proses ‘istitabah’.

Seorang pengarah dalam salah satu anak syarikat GISBH, Khaulah Ashaari berkata, amalan-amalan yang dilakukan sejak zaman Al-Arqam itu sudah pun ditinggalkan secara konsisten terhadap sebarang ajaran dikatakan sesat ataupun salah.

“Rasanya, mungkin ada yang tahu bagaimana kita sendiri mengikuti kursus oleh pihak berkuasa termasuk jabatan agama sendiri. Kita juga mengikuti proses istitabah yang sudah dilakukan dan selepas itu kita pun berkomitmen untuk tidak lagi mengamalkan apa-apa yang dilakukan sebelum ini mungkin daripada zaman Al-Arqam dan selepas itu.

“Aurad Muhammadiah pun tidak lagi diamalkan. Kalau (ada kumpulan-kumpulan kecil masih amalkan Aurad Muhammadiah) itu saya tidak tahu, tetapi secara dasarnya dan kami selalu berbincang dan kita sentiasa dipantau oleh pihak jabatan agama sendiri,” katanya dalam sidang akhbar, ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad memberitahu seramai 108 individu berkaitan GISBH ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah syariah akidah.

Ia termasuklah pungutan khairat tanpa kebenaran, perkahwinan, mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Ashaari Muhammad tidak mati dan berada di alam ghaib, mayat Ashaari terapung kerana Allah angkat, Rasulullah SAW atau arwah juga hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan GISBH.

Dalam pada itu, Khaulah yang juga salah seorang anak pengasas gerakan Al-Arqam itu menegaskan fokus GISBH kini adalah kepada perniagaan termasuk mematuhi segala fatwa dikeluarkan JAIS serta silibus-silibus sekolah agama yang ditetapkan.

“Memang kalau daripada Nasiruddin (Pengerusi Eksekutif GISBH, Datuk Mohd. Nasiruddin Mohd. Ali) sendiri pun selalu mengingatkan bahawa kita kena betul-betul mengikut fatwa yang ditetapkan dan jangan mengulangi lagi. Sebab kita memang betul-betul hendak fokus kepada perniagaan.

“Dalam pengetahuan saya, sekolah-sekolah kita yang ada lesen, kita memang ikut silibus JAIS, dan pihak mereka pun datang untuk memantau sentiasa (pelaksanaan) silibus-silibus tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya