Atur kemasukan warga asing: Dua penguatkuasa direman tiga hari

Atur kemasukan warga asing: Dua penguatkuasa direman tiga hari

DUA pegawai sebuah agensi penguatkuasaan (berbaju jingga) dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang untuk mendapatkan perintah reman hari ini.-UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Dua pegawai sebuah agensi penguatkuasaan direman selama tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai terbabit dalam mengatur kemasukan warga asing menerusi laluan kaunter khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini.

Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Majistret Muhamad Qayyum Noordin di Mahkamah Majistret George Town, hari ini.

Menurut sumber, kedua-dua pegawai penguatkuasa itu yang terdiri daripada seorang lelaki dan wanita berusia 40-an ditahan antara pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang semalam ketika hadir di Pejabat SPRM Pulau Pinang bagi dirakamkan keterangan.

“Tangkapan terhadap kedua-dua pegawai ini dibuat susulan penahanan seorang lelaki warga Bangladesh di sebuah hotel di sekitar negeri ini kira-kira pukul 9 malam, kelmarin.

“Kedua-dua suspek (pegawai penguatkuasa) itu dipercayai telah bersekongkol dengan lelaki warga Bangladesh ini yang bertindak sebagai ejen bagi mengatur laluan masuk seorang warga Indonesia tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya,” katanya di sini, hari ini.

Sumber yang sama memberitahu, berdasarkan siasatan awal, lelaki Bangladesh bersama pegawai agensi penguat kuasa lelaki terbabit telah meminta wang sebanyak RM4,500 daripada seorang lelaki warga Indonesia.

“Lelaki tersebut (warga Indonesia) tiba dengan pesawat melalui LTAPP pada 22 September lalu. Dia seterusnya memohon masa untuk menyediakan wang berkenaan sebelum diarah pergi ke satu kaunter khas yang dijaga seorang pegawai wanita bagi urusan masuk ke negara ini tanpa melalui pemeriksaan yang sepatutnya.

“Susulan itu, kelmarin, SPRM Pulau Pinang telah menahan lelaki warga Bangladesh terbabit selepas dia menerima wang kira-kira RM2,000 daripada seorang wanita warga Indonesia berkenaan,” kata sumber itu.

Tambahnya, Majistret Syahirah Abdul Salim kemudian membenarkan lelaki warga Bangladesh itu direman selama tujuh hari sehingga 24 Oktober 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret George Town, semalam.

Sementara itu, Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan yang dibuat terhadap ketiga-tiga suspek berkenaan.

Katanya, kedua-dua pegawai agensi penguat kuasa terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 manakala lelaki warga Bangladesh itu pula disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) Akta yang sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya