ATM siasat satu lagi kes buli guna seterika di UPNM

ATM siasat satu lagi kes buli guna seterika di UPNM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang menyiasat kes seorang pegawai kadet di Akademik Latihan Tentera (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang disyaki dibuli dan didera menggunakan seterika.

ATM dalam satu kenyataan memaklumkan, dada pegawai kadet berkenaan dipercayai ditekap menggunakan seterika hingga meninggalkan kesan lecur.

Menurutnya, kes tersebut kini sedang dalam siasatan di peringkat  ALK-UPNM.

“ATM menegaskan siasatan akan dilaksanakan dengan terperinci dan tidak akan melindungi serta berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes tersebut.

“Tindakan disiplin yang keras mahupun tindakan undang-undang akan dikenakan kepada pihak yang terlibat jika terbukti bersalah,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Dalam pada itu, ATM turut menggesa masyarakat memberi ruang kepada pihaknya untuk menyiasat perkara tersebut secara tuntas agar keadilan dapat diberikan sepenuhnya kepada pihak yang teraniaya.

Selain itu, masyarakat juga diseru tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu kepada proses siasatan.

“Segala perkembangan hasil siasatan akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini, perbuatan buli tersebut dipercayai terbongkar selepas pemeriksaan berkala dijalankan jurulatih yang bertugas ketika itu apabila menyedari kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

Sebelum ini negara dikejutkan kes buli yang kejam hingga membawa kematian tragis kepada pegawai kadet laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain yang turut diseksa menggunakan seterika wap pada hampir keseluruhan badannya.

Susulan kes pada 2017 itu, enam bekas penuntut UPNM dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan pada 23 Julai lalu selepas didapati bersalah melakukan perbuatan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN