KUALA LUMPUR: Seorang pegawai kanan berpangkat Asisten Superintenden serta enam anggota di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras ditahan berkaitan dakwaan kes pemerasan dan cabul terhadap seorang wanita di Cheras dekat sini pada 1 Oktober lalu.
Turut ditahan, tiga lagi orang awam warga tempatan berusia 30-an hingga 50-an bagi membantu siasatan kes tersebut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, beliau mengesahkan tangkapan keenam-enam individu berusia antara 30-an hingga 50 tahun, semalam.
Katanya, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita warga tempatan berusia 22 tahun pada 7 Oktober lalu yang mendakwa dicabul dan diperas ugut beberapa anggota polis.
“Susulan itu, kita menahan tiga lelaki tempatan 30-an hingga 50-an dan direman selama tiga hari ini sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
“Daripada tangkapan itu, kita turut menahan seorang pegawai berpangkat ASP berusia 40-an serta enam anggota termasuk seorang wanita yang bertugas di BSJN IPD Cheras.
“Kesemua mereka direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 14 Oktober (Isnin) bagi membantu siasatan,” katanya ditemui pemberita selepas sambutan Hari Sukan Negara peringkat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Menurut Rusdi, siasatan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencabul dan Seksyen 384 KK bagi kesalahan.
Jelas beliau, pihaknya kini sedang menyiasat transaksi pembayaran wang (pemerasan) didakwa dibuat secara dalam talian.
“Laporan dibuat lewat jadi siasatan perlu dijalankan dengan teliti mengapa pengadu lapor lewat.
“Kita kena melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan siasatan pembayaran dibuat. Jadi siasatan perlu dilakukan mengikut asas,” ujarnya.
Beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota dan pegawai Kontinjen Kuala Lumpur terlibat dengan sebarang kes jenayah.
Kelmarin, tular di aplikasi Telegram seorang wanita mendakwa menjadi mangsa pemerasan dan cabul sekumpulan individu dalam serbuan di unit sebuah kondominium di Cheras.
Wanita tersebut didakwa diugut sekumpulan anggota polis yang meminta wang sebanyak RM150,000 sebelum dikurangkan kepada RM90,000 selepas menemukan dadah di dalam pemilikan wanita tersebut.
Wanita tersebut bagaimanapun dibebaskan selepas dibantu seorang lelaki tempatan membuat pembayaran sebanyak RM10,000 dan perlu membuat bayaran semula secara berkala dengan kadar faedah. – UTUSAN