‘Artis program realiti lebih sukar bina kerjaya’ - Utusan Malaysia

‘Artis program realiti lebih sukar bina kerjaya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Usahanya untuk memasuki gelanggang dunia seni bukan biasa-biasa.

Buktinya, Puteri Khareeza, sejak dari usia kecil, sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian termasuk uji bakat lakonan sekali gus menunjukkan impiannya untuk bergelar artis bukan sekadar minat semata-mata.

Bagaimanapun, Puteri tidak menolak bahawa perjalanannya membina nama dalam industri seni tidak mudah.

Ada pengorbanan yang harus dilakukan terutama tuntutan kesabaran yang tinggi demi akur pada proses masa.

Ini kerana Puteri sedar,populariti, jika diraih dengan terburu-buru atau dicipta umpama satu malam, tiada jaminan bahawa kerjaya seni yang diukir mampu kekal lama.

Lalu, setelah dua dekad berada dalam industri seni, Puteri cukup tahu rencah hidup sebagai artis yang lahirnya daripada program realiti, laluan kelompok sepertinya adalah lebih sukar berbanding artis ciptaan media sosial.

“Saya antara anak seni yang tidak pernah lelah menyertai bermacam-macam pertandingan nyanyian demi mengejar impian menjadi penyanyi. Jadi saya tahu benar, artis seperti saya ini lebih susah bergelut dengan hasrat membina kerjaya kerana adakalanya populariti tidak menyebelahi kami.

“Contohnya saya sendiri, sehingga kini orang tak tahu pun siapa di sebalik lagu Duka Di Sebalik Tawa, runut bunyi untuk drama Melur Untuk Firdaus. Mungkin ada tetapi tidak secara meluas.

“Tetapi saya faham kerana segalanya perlukan proses. Artis yang lahir dari program realiti juga hakikatnya adalah yang paling susah nak mencuba membawa diri, itu juga antara yang pernah saya alami,” katanya.

Menjelaskan mengenai perkara itu, kata Puteri, tanggapan orang program realiti mampu menjadi batu loncatan seseorang artis menjadi popular sebenarnya cuma satu kisah dongeng.

Bagi Puteri, semua itu adakalanya terletak pada tuah kerana adakalanya setelah mencuba dan berusaha, jika tuah dan rezeki masih belum menyebelahi, penyanyi sepertinya akur dalam kesabaran.

“Saya bukan artis ‘fast track’ meskipun dari kecil sudah menyanyi. Saya pun bergelut dengan nasib dan tentang bagaimana mahu membawa diri dalam industri seni ini.

“Terutama dalam usaha mahu orang nampak kehadiran saya. Sebab itu, saya tak boleh cuma bersandar pada minat menyanyi semata-mata. Ia juga menjadi sebab mengapa saya tetap mahu menyambung pelajaran di menara gading sebagai satu daripada ‘plan B’,”katanya.

Bahagi masa
Merupakan pelajar semester lapan dalam jurusan undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Puteri mengakui fokusnya kini cuma pada tiga perkara.

Satu, pelajaran, kedua pada kerjaya seni dan ketiga pada rumah tangga yang dibina sejak lapan bulan lalu.

Namun, tentunya bukan mudah untuk menyusun masa dengan baik jika tidak mempunyai sistem sokongan yang kuat sebagai tulang belakang

Dalam hal ini, Puteri amat bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang sangat memahami dan seorang suami yang merupakan penyokong setianya.

“Saya sebenarnya seronok bila dapat menyanyi, berlakon, belajar kerana semua itu adalah minat yang ada dalam diri. Saya jenis yang tak boleh duduk diam, kena juga bekerja.

“Suami paling banyak menyokong dan memahami. Sebab itu saya tak pernah rasa tertekan untuk menyusun dan membahagikan masa untuk buat semua itu.

“Sebab itu, jika saya ada peluang berehat contohnya sehari, saya akan betul-betul gunakan masa itu untuk rehat,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Puteri juga mengumumkan berita baik buat peminat-peminatnya.

Bakal menganjurkan showcase Sebenar di RCD Big Studio, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 16 November ini, Puteri nyata teruja berikutan ia showcase pertamanya sejak bergelar penyanyi.

Ini juga adalah masanya untuk Puteri menunjukkan bakatnya dalam bidang nyanyian untuk dikenali dengan lebih meluas lagi.

“Mungkin inilah peluang dan masa untuk saya menonjolkan diri. Saya tidak pernah tentukan had masa mahu dikenali kerana saya ikut kadar dan kemampuan diri.

“Malah, saya tak mahu cuma dikenali sebagai penyanyi lagu runut bunyi. Jadi, sebab itulah saya nak buktikan yang saya boleh nyanyi secara live.

“Ramai sebenarnya yang memberikan sokongan supaya adakan showcase, terutama teman ketika program realiti, Idola Kecil dan peminat. Showcase ini diadakan secara kecil-kecilan, hanya 300 penonton termasuk ahli keluarga dan media.

“Saya sedar kedudukan saya sebagai penyanyi, sebab itulah saya tak sasarkan showcase besar-besaran,” katanya.

Penyanyi yang bernaung di bawah label Alternate Records ini memberitahu, sempena Showcase itu nanti, hampir 20 buah lagu akan didendangkan.

Selain itu, tambah Puteri, dia juga akan mengundang anggota kumpulannya, Venus untuk mengiringi persembahan serta dan teman rapat daripada program realiti pernah disertai seperti Haris Fayahet, Zazo Maulana, Maria Khairul dan Adi Venus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya